Jemput Trump: Risiko gugat pendirian moral, geopolitik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Aktivis kemanusiaan, Chua Tian Chang menegaskan, Kerajaan Malaysia perlu berhati-hati terhadap implikasi moral dan geopolitik kerana menjemput Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke persidangan kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

Beliau berkata, sepanjang sejarahnya, ASEAN membangunkan mekanisme tersendiri untuk menangani krisis serantau secara kolektif melalui pendekatan ‘constructive engagement’ yang bergantung sepenuhnya kepada konsultasi dan konsensus.

Menurut beliau, walaupun pendekatan itu hanya menghasilkan kadar kejayaan terhad dan kadangkala menyebabkan kebuntuan, ia tetap berjaya mengukuhkan hubungan baik serta kesatuan antara negara-negara Asia Tenggara.

“Kerajaan Malaysia mungkin mempunyai pertimbangan tersendiri apabila mengundang Presiden Trump ke persidangan kemuncak ASEAN. Lazimnya platform ASEAN dimanfaatkan untuk berhubung dengan pemimpin luar mempunyai justifikasi yang boleh diterima.

“Namun, kita perlu sedar bahawa kedatangan Donald Trump mengundang risiko tinggi dan berpotensi mengikis pendirian moral kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tian Chua berkata, Trump bukan figura politik biasa kerana beliau melambangkan punca kezaliman terhadap rakyat Palestin dan pelbagai permasalahan dunia mutakhir ini.

Jelasnya, ketika menjadi Presiden Amerika Syarikat, Trump terus memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, untuk meneruskan keganasan sewenang-wenangnya terhadap rakyat Palestin.

“Amerika Syarikat pimpinan Trump mengizinkan tentera Israel melaksanakan genosida di Gaza. Dengan taktik intimidasi, Trump memaksa semua pihak menerima rangka perdamaian yang sempit dan merugikan rakyat Palestin.

“Hakikatnya, ‘20 Points’ yang dicadangkan Trump bukan jalan menuju kedaulatan, tetapi helah untuk mengesahkan penjajahan haram Israel,” terangnya.

Menurut beliau, dalam konteks itu, kebangkitan rakyat untuk membantah adalah suatu kewajipan kerana pergerakan solidariti bertanggungjawab memperjuangkan keadilan di luar gelanggang yang ditetapkan penindas.

Menurutnya, tindakan protes bukan luahan emosi semata-mata, tetapi penegasan prinsip terhadap kezaliman.

“Landskap geopolitik antarabangsa bukan hanya ditentukan oleh pemimpin-pemimpin. Penindasan terhadap rakyat Palestin terbina dalam rangkaian kompleks sistem global yang didominasi Amerika Syarikat.

“Rakyat yang menentang ketidakadilan tidak boleh bergantung semata-mata pada rundingan diplomatik. Di samping menghormati usaha kerajaan menggunakan saluran dua hala dan peraturan diplomasi, tekanan dari masyarakat sivil perlu juga ditingkatkan,” katanya.

Tian Chua berkata, demonstrasi yang dijadualkan pada 26 Oktober ini membawa mesej jelas bahawa rakyat Malaysia menolak normalisasi kezaliman serta menuntut kerajaan menterjemahkan pendirian itu dalam tindakan diplomatik yang konkrit. – *HARAKAHDAILY 15/10/2025*

- Advertisement -

- Advertisement -