
KANGAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis menzahirkan kebimbangan serius terhadap krisis disiplin pelajar yang kian membimbangkan di sekolah-sekolah seluruh negara.
Sehubungan itu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa agar mengembalikan semula kuasa kepada guru untuk mendidik dengan tegas dan berhemah.
Ketua Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun berkata, sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk membina akhlak dan masa depan anak-anak, namun kini situasinya semakin tercalar dengan peningkatan kes jenayah dan masalah disiplin kronik kalangan pelajar.
“Baru-baru ini negara digemparkan dengan kes Zara, pelajar sekolah yang menjadi mangsa buli dan maut. Belum reda dengan kes tersebut, kita dikejutkan pula dengan kes rogol melibatkan seorang pelajar Tingkatan 3, dan lebih tragis, kes bunuh seorang pelajar Tingkatan 4 di kawasan sekolah,” ujarnya.
Menurut beliau, insiden-insiden tersebut bukan lagi kes terpencil tetapi isyarat jelas bahawa disiplin pelajar semakin runtuh, manakala guru pula semakin hilang kuasa dan kepercayaan untuk bertindak.
Haziq menegaskan bahawa kuasa merotan yang telah ditarik balik sebelum ini perlu dikembalikan kepada guru, kerana ia terbukti berkesan dalam mendidik pelajar selama berpuluh tahun.
“Rotan yang mendidik bukan penderaan. Ia pernah menjadi mekanisme penting dalam membentuk sahsiah pelajar. Namun apabila kuasa ini ditarik, pelajar menjadi semakin berani melawan, membuli, malah bertindak ganas,” tegasnya.
Beliau turut menyelar sikap sambil lewa sesetengah pihak terhadap isu disiplin yang semakin meruncing, sambil menegaskan bahawa ia tidak akan selesai hanya dengan kenyataan Menteri berbunyi ‘jangan kacau sekolah kami’.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri menyeru agar KPM segera menyemak semula pelaksanaan dan keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan di sekolah.
Katanya, kelemahan dalam prosedur pemantauan, kawalan keluar masuk pelajar, serta pengesanan awal terhadap pelajar bermasalah membuka ruang kepada tragedi yang tidak sepatutnya berlaku.
“Hanya dengan kehadiran pengawal keselamatan tanpa sistem pemantauan menyeluruh tidak akan menjamin keselamatan pelajar,” kata Haziq turut menyokong para guru yang menuntut semula kuasa untuk mendidik dengan tegas namun berhemah.
Tegasnya, guru bukan musuh pelajar, tetapi mereka adalah pembina masa depan bangsa, maka, maruah institusi pendidikan perlu dikembalikan ke tempatnya yang mulia, dengan mengembalikan kuasa kepada guru. – *HARAKAHDAILY 15/10/2025*











