
SANDAKAN: PAS Sabah mendesak Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meletakkan jawatan kerana telah gagal menunjukkan kepekaan, ketegasan dan empati terhadap isu keselamatan pelajar.
Setiausaha PAS negeri, Sahar Abdul Majid berkata, PAS Sabah memandang serius keputusan yang diumumkan oleh Fadhlina berhubung kebenaran menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada empat orang pelajar suspek kes rogol.
“Ketetapan ini adalah tidak masuk akal dan mencerminkan kegagalan berterusan menteri dalam menguruskan hal ehwal pendidikan negara,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Tambahnya, perbuatan empat pelajar tersebut jelas melampaui batas nilai kemanusiaan dan moral apabila tergamak merogol rakan sekolah sendiri, merakam serta menyebarkan video perbuatan terkutuk itu.
“Tindakan Menteri Pendidikan yang membenarkan mereka menduduki SPM seolah-olah memberi isyarat bahawa jenayah seumpama ini boleh dimaafkan atas alasan masa depan pelajar.
“Jika masa depan pelaku lebih diutamakan, bagaimana pula dengan masa depan mangsa yang menjadi korban? Tidakkah beliau memikirkan trauma mendalam yang dialami oleh mangsa dan keluarganya?” soal Sahar.
Sewajarnya, kata beliau suspek-suspek berkenaan digantung persekolahan atau dibuang sekolah serta merta, sementara menunggu tindakan undang-undang diselesaikan.
Ini, ujarnya penting dalam menunjukkan ketegasan kementerian dalam menegakkan disiplin, nilai moral dan prinsip keadilan,” katanya.
Tambahnya, PAS menyeru agar pihak berkuasa segera mempercepatkan siasatan dan pendakwaan terhadap suspek agar keadilan dapat ditegakkan tanpa sebarang campur tangan atau tekanan politik.
“PAS Sabah turut menggesa kerajaan memperkenalkan dasar yang lebih jelas dan tegas berhubung salah laku seksual dalam kalangan pelajar,” tegasnya lagi.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, maut selepas dipercayai ditikam pelajar 14 tahun dalam kawasan sekolah. – HARAKAHDAILY 15/10/2025











