
IPOH: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa mengambil tindakan segera dan tegas berhubung penganjuran ‘pesta arak’ dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Michael, di sini pada 27 September lalu.
Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib mendedahkan, daripada maklumat diperolehinya, perkara tersebut dikatakan berlaku sempena Annual Reunion Banquet kali ke-90 oleh bekas pelajar melibatkan kehadiran hampir 800 alumni.
Bidasnya, perkara itu amat dikesali dan tidak boleh diterima, kerana sekolah adalah institusi untuk membentuk sahsiah, moral dan keilmuan, bukan tempat untuk aktiviti bertentangan dengan nilai agama, etika dan dasar pendidikan negara.
“Sekolah sepatutnya menjadi medan pembentukan nilai, bukan medan pesta arak. KPM perlu menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang memberi kebenaran atau membiarkan perkara ini berlaku,” tegas beliau.
Ustaz Muhammad Ismi turut mengingatkan bahawa KPM sendiri telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 3 Tahun 2018, yang dengan jelas melarang sekolah menerima sumbangan daripada syarikat minuman keras, rokok dan perjudian.
Kabinet juga katanya, sebelum ini telah mengekalkan larangan tersebut dan mengarahkan agar tiada promosi atau aktiviti berkaitan arak dijalankan di premis sekolah.
Beliau menambah bahawa dasar KPM mengenai penggunaan fasiliti sekolah oleh pihak luar juga seharusnya mengandungi larangan tegas terhadap aktiviti bercanggah dengan nilai moral dan sensitiviti agama.
“KPM perlu segera menyatakan pendirian tegas bahawa premis sekolah tidak boleh dijadikan tempat pesta arak atau apa-apa aktiviti yang mencemarkan nilai pendidikan.
“Sekolah mesti kekal sebagai tempat mendidik generasi masa depan, bukan pentas hiburan yang merosakkan moral,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Parit.
Beliau turut menyeru Persatuan Bekas Pelajar (Alumni) agar lebih peka terhadap sensitiviti agama dan budaya masyarakat setempat, serta mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh KPM.
Beliau menggesa KPM menjalankan siasatan menyeluruh terhadap penganjuran majlis di SMK St Michael itu dan engambil tindakan disiplin tegas terhadap mana-mana pegawai sekolah yang cuai atau melanggar garis panduan.
Juga desaknya, agar menyemak semula dan memperkukuh garis panduan penggunaan fasiliti sekolah oleh pihak luar, serta engeluarkan arahan menyeluruh kepada semua sekolah agar tidak membenarkan aktiviti bercanggah dengan nilai moral dan dasar pendidikan.
“Sekolah ialah simbol maruah dan nilai ilmu dalam masyarakat. Jangan cemarkan tempat suci ini dengan pesta arak,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/10/2025











