Joget: Adab, protokol diketepi

- Advertisement -

Selepas menari bersama Presiden Amerika Syarikat ketika menyambut Donald Trump, PMX seolah-olah masih berada dalam dunia keasyikannya.

- Advertisement -

Tular di media sosial sebuah rakaman yang memperlihatkan Perdana Menteri Malaysia berjoget ketika penyanyi tersohor tanah air, Datuk M. Nasir, membuat persembahan di Majlis Makan Malam Gala sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Apa yang menarik perhatian ramai bukanlah persembahan itu sendiri, tetapi hakikat bahawa PMX asyik melayani persembahan tersebut dengan berdiri dan berjoget tanpa mempedulikan tetamu di sebelah beliau, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Lebih mencuri perhatian ialah bahasa badan (body language) Baginda Sultan yang kelihatan seolah-olah menyampaikan isyarat tidak selesa terhadap suasana yang berlaku.

Jika ketika menyambut Trump, ia dilapik dengan alasan ‘diplomasi tertinggi PMX’, namun reaksi pada majlis kali ini mengundang rasa muak masyarakat terhadap aksi ‘terlalu gembira’ seorang pemimpin utama negara.

Rata-rata rakyat menilai perbuatan itu sebagai kurang beradab dari sudut protokol dan tatasusila kenegaraan. Isu ini mungkin kelihatan kecil, tetapi ia membuka ruang untuk kita merenung kembali nilai adab dan kewibawaan dalam kepimpinan.

Dalam tradisi Melayu-Islam, adab bukan sekadar sopan santun luaran, tetapi mencerminkan ketinggian akhlak dan kebijaksanaan bertempat.

Nabi Muhammad SAW diutuskan bukan sahaja untuk membawa wahyu, tetapi juga untuk menyempurnakan akhlak.

Maka dalam konteks kepimpinan, setiap gerak tubuh, kata-kata, dan reaksi menjadi cerminan kepada watak serta maruah diri, bahkan secara tidak langsung kepada bangsa dan negara yang diwakilinya.

Apabila seorang ketua kerajaan berdiri di sisi seorang raja, adab utama ialah menzahirkan hormat dan ketenangan, bukan menonjolkan diri.

Walaupun niatnya mungkin hanya untuk memeriahkan suasana, dalam konteks kehadiran diraja, tindakan berjoget boleh dianggap tidak kena pada tempatnya kerana majlis melibatkan baginda membawa nilai protokol dan simbolik yang tinggi.

Dari sudut protokol rasmi, kehadiran raja atau sultan menjadikan sesuatu acara dikategorikan sebagai majlis separa rasmi atau rasmi sepenuhnya.

Dalam situasi sebegini, yang sudah semestinya disedari oleh PMX, ketua kerajaan perlu menjaga pergerakan dan ekspresi diri agar tidak menenggelamkan kehadiran tetamu diraja.

Lebih janggal apabila persembahan hiburan di hadapan baginda sepatutnya diberi ruang kepada penyanyi atau pengacara majlis, bukan kepada tetamu kehormat untuk turut serta, melainkan dengan izin dan dorongan baginda sendiri.

Peraturan tidak tertulis ini berakar daripada budaya istana Melayu, di mana setiap pergerakan membawa makna simbolik, tunduk sedikit pun menggambarkan hormat, apatah lagi jika seseorang itu terlalu bebas di hadapan raja, boleh ditafsirkan sebagai kurang beradab.

Dalam hubungan diplomatik, perkara kecil seperti ini juga dinilai oleh pemerhati luar. Negara jiran, terutama yang masih mengekalkan sistem monarki seperti Brunei, amat menitikberatkan tatasusila dan tertib istiadat.

Justeru, sedikit kekhilafan boleh mencetuskan persepsi bahawa Malaysia kurang menjaga kehalusan protokol dalam hubungan dua hala.

Sekiranya situasi ini berlaku bukan dengan Sultan Brunei tetapi dengan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), tentu impaknya lebih besar.

YDPA ialah lambang kedaulatan dan perpaduan negara. Maka, setiap pemimpin, termasuk Perdana Menteri, perlu menunjukkan tingkah laku yang paling beradab dan berdisiplin di hadapan baginda.

Kecuaian dalam hal kecil seperti ini boleh ditafsirkan sebagai kurang peka terhadap institusi diraja dan menjejaskan citra kepimpinan di mata rakyat.

Kepimpinan yang berkesan bukan sahaja dinilai melalui dasar dan polisi tetapi juga melalui ketenangan, kesantunan, dan kebijaksanaan sosial.

Seorang pemimpin yang beradab akan tahu membezakan tempat, masa dan konteks, tahu bila perlu bergurau dan bila perlu berdiam, bila wajar berhibur dan bila wajar berhemah.

Pepatah Melayu menyebut, “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.”

Dalam konteks ini, kita boleh menambah: “Kerana sikap, hilang wibawa.”

Sebagai rakyat yang mencintai adab dan tertib Melayu-Islam, kita tidak menuntut kesempurnaan daripada pemimpin tetapi kepekaan terhadap simbol dan nilai yang menjadi asas jati diri bangsa.

Adab bukan pakaian yang dipakai hanya ketika sesuai, tetapi ia adalah cermin tetap kepada maruah diri dan bangsa. Dalam setiap majlis, terutama di hadapan raja dan tetamu diraja, adab mesti sentiasa mendahului hiburan.

Kita tidak mahu, di saat gejala sosial dalam kalangan remaja semakin serius, anak muda dihidangkan dengan contoh tidak baik. Ingatlah! adab dalam kepimpinan adalah teladan buat rakyat.

Dr. Mukhtaruddin Musa
Pengarah Urusan
Yayasan Strategik Lestari ( YSL) – HARAKAHDAILY 29/10/2025

- Advertisement -