
KUALA LUMPUR: Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia baru-baru ini terus mencetuskan reaksi pelbagai pihak, khususnya apabila lawatan itu dikaitkan dengan dasar luar AS yang menzalimi rakyat Palestin.
Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahya menegaskan, bantahan terhadap kunjungan Trump bukan semata-mata bersifat politik, tetapi berakar daripada prinsip kemanusiaan dan solidariti terhadap Palestin yang telah lama menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.
Menurut beliau, penentangan terhadap lawatan Trump bukan disebabkan Malaysia tidak pernah menjemput pemimpin AS ke negara ini, atau kerana tidak memahami pendekatan ‘The ASEAN Way’ yang menekankan konsensus serta keseimbangan kuasa besar di rantau ini.
“Namun bantahan ini dibuat kerana Trump adalah watak utama di sebalik genosid yang berlaku sejak beliau mengambil alih Rumah Putih. Trump adalah ‘enabler’ kepada kesinambungan genosid, malah lebih dahsyat daripada apa yang dicetuskan oleh Biden ketika menjadi Presiden sebelumnya,” katanya kepada Harakah.
Tambah beliau lagi, perkara itu turut disokong oleh laporan rasmi Kongres AS bertarikh 28 Mei 2025 yang mengesahkan bantuan ketenteraan besar-besaran kepada Israel diteruskan di bawah pentadbiran Trump.
Dalam pada itu, Ahmad Yahya turut mempersoalkan sikap segelintir pihak yang dilihat kehilangan prinsip apabila berdepan dengan individu yang terlibat secara langsung dalam dasar penindasan terhadap Palestin.
“Kalau kita menyatakan bantahan yang tidak berbelah bahagi terhadap genosid yang membunuh puluhan ribu nyawa termasuk wanita, kanak-kanak dan wartawan, mengapa hari ini kita kehilangan hujah berhadapan dengan watak utama yang merealisasikan pembunuhan itu?” tegasnya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa tiada suara lantang menyatakan bantahan secara terbuka di hadapan Trump, sedangkan sering kali dilaungkan keperluan ‘berkata benar di hadapan pemimpin zalim’.
Katanya lagi, tindakan sesetengah pihak yang berbangga dengan pujian Trump terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) menunjukkan seolah-olah rakyat Malaysia mudah melupakan kezaliman rejim yang didokong AS.
“Kita marahkan negara Arab yang lunak dengan AS dan sekutunya, Israel, tetapi dalam masa sama kita menyambut mesra Trump. Apa bezanya kita dengan mereka?” ujarnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena.
Menurut beliau, diplomasi tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup mata terhadap penderitaan rakyat Palestin yang terus ditindas saban hari.
Ahmad Yahya turut menegaskan, isu kehadiran Trump bukan berkaitan dengan protokol kerajaan semata-mata, tetapi mencerminkan wajah sebenar sikap hipokrasi terhadap perjuangan Palestin.
“Suka atau tidak, itulah gambaran bagaimana dunia sedang melihat kita. Tepuk dada, tanya iman masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2025











