
KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff menzahirkan tahniah kepada Ahli Parlimen Parit Buntar, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki.
Beliau dihalau keluar oleh Speaker Dewan Rakyat ketika mencelah perbahasan Belanjawan oleh Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden.
Menurut Dr Nurul, Ahli Parlimen Parit Buntar hanya menyebut bahawa agama lain pun ‘tidak menggalakkan’ pengambilan arak, namun Ahli Parlimen Kampar menuduh beliau mengelirukan dewan dengan mengatakan semua agama ‘mengharamkan’ arak.
“Kan jauh ‘tidak menggalakkan’ dan ‘mengharamkan’. Akhirnya Speaker buat ‘ruling’ suruh Parit Buntar hanya cakap pasal Islam dan tarik balik pasal agama lain. Eh sejak bila kita tidak boleh sebut dan bahas fakta mengenai agama lain?” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Nurul Islam turut menegur tindakan Speaker Dewan Rakyat yang terus membuat keputusan selepas bantahan daripada DAP tanpa menyelidik kesahihan fakta yang dikemukakan.
“Speaker pun satu hal, bila DAP bantah terus buat ‘ruling’. Selidiklah dulu, betul ke tidak fakta tu,” tempelaknya.
Dr Nurul Islam kemudian menghuraikan pandangan beberapa agama utama dunia mengenai arak, antaranya Islam yang mengharamkan sepenuhnya berdasarkan Surah al-Maidah ayat 90 dan 91 yang menyifatkan arak sebagai ‘kotor’ dan ‘perbuatan syaitan’.
Menurutnya, Kristian berbeza pandangan mengikut mazhab iaitu Katolik dan Ortodoks membenarkan dalam kadar sederhana, manakala Protestan konservatif melarang sepenuhnya.
Hindu pula jelasnya, menegah pengambilan arak melalui ajaran Weda dan Dharma Shastra, manakala Brahmin dilarang keras.
Buddha jelasnya melarang arak kerana melanggar ‘Lima Sila’, manakala Sikh melarang keras berdasarkan Rehat Maryada yang menganggap arak mengotorkan jiwa.
“Kalau ikut apa yang Ahli Parlimen Parit Buntar sebut tu betul saja. Speaker tidak sepatutnya ‘over react’ apabila DAP meroyan dalam Parlimen. Asal cakap pasal arak saja, meroyan. Asal meroyan je mesti tengah cakap pasal arak,” sindirnya.
Beliau berkata, Ahli Parlimen perlu dibenarkan berbahas dan membangkitkan isu moral serta akhlak, apatah lagi selepas berlaku insiden pesta arak dalam sekolah baru-baru ini.
“Mereka (DAP) nak mabuk tu mereka punya pasal. Tapi Ahli Parlimen perlu dibenarkan berbahas dan timbulkan isu melibatkan moral dan akhlak. Apatah lagi berlaku insiden pesta arak dalam sekolah baru ni.
“Tahniah Ahli Parlimen Parit Buntar. Bertegas tak nak tarik balik apa yang disebut. Saya sokong!” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2025




















