Arak bawa padah: Sekolah bukan tempatnya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Larangan penyajian dan penganjuran arak yang melibatkan institusi pendidikan wajar disokong oleh semua pihak terutama rakyat Malaysia beragama Islam, demikian kata Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

- Advertisement -

Jelasnya, institusi pendidikan merupakan tempat membentuk akhlak, bukannya ruang normalisasi budaya yang boleh merosakkan minda.

“Telah terbukti kesan arak boleh menghancurkan akal, meruntuhkan moral dan mengundang pelbagai jenayah sosial.

“Oleh itu, arak tidak wajar dibenarkan atau dilibatkan dengan mana-mana institusi tersebut, sama ada secara langsung mahupun tidak,” tegasnya dalam kenyataan beliau, di sini, hari ini.

Jelas Ustazah Nuridah lagi, agama Islam sendiri tegas mengharamkan arak kerana kesannya bukan sekadar terhadap individu, tetapi juga kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

Hal itu katanya lagi, dirakam di dalam Al-Quran, surah Al-Ma’idah ayat 90, di mana Allah menyebut, arak, judi, menyembah berhala serta menenung nasib adalah najis malah merupakan perbuatan syaitan yang keji.

“Allah menyuruh kita menjauhi semua perkara tersebut sekiranya kita mahu beroleh kejayaan.

“Kita juga tidak mahu generasi pewaris masa depan dinodai oleh budaya hedonisme yang bertentangan dengan nilai Islam dan Rukun Negara.

“Sekolah sepatutnya kekal sebagai taman ilmu yang subur dengan adab, akhlak dan nilai murni,” tambah beliau lagi.

Berikutan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk alumni, sama-sama menghormati peraturan dan menjaga kesucian institusi pendidikan negara agar tidak tercemar serta terjebak dengan budaya negatif yang merosakkan generasi muda. – HARAKAHDAILY 27/10/2025

- Advertisement -