
KUALA LUMPUR: Malaysia berisiko terpaksa tunduk kepada Amerika Syarikat (AS)apabila perlu menyesuaikan dasar perdagangan dan sekuriti dengan kerangka geopolitik negara itu kesan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas dimeterai semalam.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, Washington boleh bertindak demikian jika menganggap sesuatu tindakan Putrajaya menjejaskan keselamatan ekonomi kuasa besar tersebut.
Beliau menyuarakan kebimbangan itu dalam menjelaskan maksud di sebalik bahasa diplomatik lembut dalam perjanjian tersebut yang mengandungi komitmen Malaysia untuk memperkukuh ‘kerjasama keselamatan ekonomi dan nasional’ dengan AS.
“Perjanjian itu menyaksikan bukan sahaja sorak yang tidak menang, bahkan kampung turut digadai. Ia merupakan satu persetujuan perjanjian ‘penjajahan baru’ dengan AS bersembunyi di sebalik slogan ‘kerjasama ekonomi’,” terangnya.
Menurut beliau, dokumen rasmi diterbitkan White House sendiri menunjukkan bahawa ia bukan perjanjian dua hala yang seimbang, tetapi langkah menyerahkan dasar, sumber dan kuasa kawal selia Malaysia ke tangan AS.
Ahmad Fadhli menyenaraikan beberapa butiran dalam perjanjian ditandatangani Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump yang dijemput sempena Sidang Kemuncak ASEAN di KLCC, di sini semalam.
“Malaysia bersetuju memberi akses pasaran istimewa kepada eksport Amerika dalam sektor industri dan pertanian, termasuk bahan kimia, mesin dan peralatan elektrik, logam, kenderaan penumpang, hasil tenusu, produk hortikultur, ayam, produk proses, minuman, daging khinzir, beras dan bahan bakar ethanol.
“Sebagai balasan, Amerika hanya komited mengekalkan tarif timbal balik pada 19 peratus seperti dinyatakan dalam Executive Order 14257 dan Annex III Executive Order 14346, serta mungkin mempertimbangkan kadar sifar beberapa produk terpilih,” ujarnya.
Malaysia bidas beliau, membuka pintu seluas-luasnya untuk produk AS, sedangkan negara itu kekal dengan janji longgar yang bergantung pada budi bicara mereka dan lebih membimbangkan, turut ditandatangani komitmen untuk melonggarkan sekatan bukan tarif terhadap barangan AS.
“Ini termasuk menerima kenderaan buatan AS yang mengikut piawaian keselamatan dan pelepasan gas mereka sendiri, memudahkan lesen import bagi produk keluli dan paip, serta ‘menyederhanakan keperluan halal’ untuk kosmetik, farmaseutikal dan peranti perubatan dari Amerika.
“Ia juga melibatkan pelonggaran keperluan halal dan pendaftaran fasiliti untuk produk makanan dan pertanian. Tindakan ini jelas menggugat integriti sistem kawal selia tempatan dan pensijilan halal negara yang menjadi kebanggaan dunia Islam,” ujarnya.
Maklum beliau, dalam sektor makanan dan pertanian, Malaysia bersetuju menerima sijil dikeluarkan pihak berkuasa kawal selia AS; bermakna jika produk telah disahkan agensi negara itu, Putrajaya perlu terima tanpa melalui semakan semula yang penuh oleh agensi tempatan.
“Keputusan ini memperkecilkan peranan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Peranti Perubatan Malaysia (MDA) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam menjamin keselamatan pengguna dan pematuhan syariah di negara ini.
“Lebih parah, Malaysia juga berjanji tidak akan mengharam atau mengenakan kuota eksport terhadap bahan nadir bumi dan mineral kritikal ke AS, malah kerajaan bersetuju mempercepat pembangunan sektor ini bersama syarikat-syarikat negara itu.
“Termasuk memberi lesen operasi lanjutan dan memastikan tiada sekatan ke atas penjualan magnet nadir bumi kepada syarikat AS. Dengan kata lain, sumber strategik negara kini diikat untuk memenuhi keperluan industri AS, bukan keperluan nasional,” jelasnya.
Dalam bidang digital, Malaysia katanya, menandatangani komitmen sangat jelas menguntungkan syarikat teknologi AS apabila bersetuju menahan diri daripada mengenakan cukai perkhidmatan digital (DST) yang mendiskriminasi syarikat AS.
Juga beritahunya, Malaysia tidak akan memaksa platform sosial dan penyedia awan AS menyumbang kepada dana tempatan, serta memastikan pemindahan data rentas sempadan melalui ‘trusted borders’ dengan perlindungan sewajarnya.
Malaysia juga senarainya, bersetuju menyokong moratorium kekal di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) terhadap duti kastam atas transmisi elektronik dan menghapuskan sekatan penyiaran terestrial terhadap kandungan Amerika.
“Ini bermakna ruang digital dan media negara semakin terbuka kepada pengaruh luar tanpa pengimbang jelas. AS pula hanya berjanji ‘mempertimbangkan kesan perjanjian ini terhadap keselamatan negara’ apabila melaksanakan tindakan perdagangan di bawah Seksyen 232 Akta Perluasan Perdagangan 1962.
“Ini memberikan kuasa sepenuhnya kepada Washington untuk mentafsir kepentingan mereka atas nama keselamatan nasional. Dengan kata lain, Malaysia menyerahkan hak kawalan tetapi tidak menerima jaminan yang sama,” ujarnya berdasarkan siaran dokumen White House itu.
Ahmad Fadhli turut menegaskan bahawa senarai transaksi komersial yang diumumkan hanya mengesahkan ketidakseimbangan ini apabila Malaysia akan membeli 30 pesawat dengan pilihan tambahan 30 lagi daripada negara Uncle Sam itu.
Selain katanya, membuat pembelian semikonduktor, komponen aeroangkasa dan peralatan pusat data bernilai USD150 bilion, juga sehingga 5 juta tan gas asli cecair (LNG) bernilai USD3.4 bilion setahun, serta arang batu dan produk telekomunikasi bernilai USD204.10 juta.
“Malaysia juga akan melabur USD70 bilion dana modal di Amerika Syarikat. Jelas bahawa Malaysia bertindak sebagai pembeli dan pelabur ke luar negara, sementara Amerika menjadi penerima keuntungan sebenar.
“Turut dimasukkan ialah rundingan antara Jabatan Perbendaharaan AS dan Bank Negara Malaysia untuk memuktamadkan persefahaman dasar mata wang, yang membuka ruang kepada pengawasan luar terhadap dasar kewangan negara atas alasan ‘hubungan ekonomi yang adil’,” dedahnya.
Beliau sehubungan itu mempersoalkan sama ada perjanjian itu merupakan ufti era moden Kerajaan Malaysia untuk Amerika memandangkan sesemua fakta dan angka ini datang daripada kenyataan rasmi White House sendiri.
Tegasnya, tidak ada ruang lagi untuk menafikan bahawa Kerajaan Madani telah menandatangani perjanjian berat sebelah dan berpotensi menggugat kedaulatan serta meletakkan Malaysia sebagai pelaksana kepada kepentingan AS; bukan sebagai rakan yang setara.
“Apabila kita mengkritik langkah mengundang ‘si penjenayah perang’ itu ke Malaysia, diungkit semula ucapan tahniah saya ketika Trump menang pilihan raya. Hakikatnya ucapan itu wajib dibaca dengan perenggan berikutnya iaitu harapan agar Trump melaksanakan janjinya memastikan keamanan di Gaza sebagaimana kempennya.
“Jangan menjadi syaitan bermata sebelah menyebelahi rejim Zionis sahaja. Namun sayangnya sekali lagi, Trump tidaklah berbeza berbanding Presiden-presiden sebelumnya, bahkan lebih teruk tahap kesombongannya.
“Walau bagaimanapun, saya ucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia yang dijemput naik bersama dalam kenderaan ‘The Beast’ iaitu kereta rasmi Presiden Amerika Syarikat.
“Ia mengulangi penghormatan yang diberikan kepada (Perdana Menteri Israel, Benjamin) Netanyahu yang turut dijemput naik bersama kenderaan itu pada 13 Oktober lepas,” ungkapnya penuh sinis. – HARAKAHDAILY 27/10/2025











