14 tokoh profil tinggi sertai PAS di N9 malam tadi

- Advertisement -

SEREMBAN: PAS malam tadi mengumumkan penyertaan 14 tokoh berprofil tinggi daripada pelbagai latar belakang politik, korporat, akademik, dan NGO ke dalam parti itu, sekali gus memperkukuh jentera mereka dalam menghadapi persediaan pilihan raya.

- Advertisement -

Pengumuman rasmi itu dibuat semasa program Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan yang berlangsung di Markas PAS Kawasan Seremban, malam tadi.

Barisan tokoh yang menyerah borang keahlian tersebut terdiri daripada bekas Menteri Persekutuan, bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), tokoh ekonomi, serta beberapa mantan pimpinan kanan daripada Umno PKR, dan PAN.

Gelombang penghijrahan tokoh-tokoh berprofil tinggi ke dalam PAS ini menyusul seminggu selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 8 Jun 2026 secara rasmi membuka pintu parti kepada tokoh akademik, profesional dan aktivis masyarakat.

Langkah strategik ini dilaksanakan selari dengan fasa persediaan blok pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Berikut merupakan senarai penuh 14 tokoh yang diumumkan menyertai perjuangan PAS pada majlis berkenaan:

1. Datuk Dr Mohamad Rafie Abdul Malek – Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan dan bekas ADUN Ampangan; bekas pemimpin kanan PKR Negeri Sembilan.

2. Dr Rosli Yaakop – Bekas Pengerusi PAN Negeri Sembilan serta tokoh ekonomi dan bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia.

3. Datuk Zaid Ibrahim – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal undang-undang.

4. Dr Mad Nizam Baharom – Bekas Pengerusi Kelab Umno United Kingdom dan Eire (Kelab Umno UK).

5. Datuk TPr Lokman Omar – Bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta bekas ketua pegawai eksekutif beberapa agensi dan badan korporat.

6. Prof Dr Mohd Nasir Ibrahim – Bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

7. Anas Iman Sudin – Pengerusi BARA Malaysia.

8. Saiful Azli Saiful Rizwan – Bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Padang Serai.

9. Datuk Ahmad Tarmizi Musa – Bekas Setiausaha Umno Bahagian Ketereh.

10. Mustafa Shah Mohd Zain – Bekas Ahli EXCO Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

11. Dato’ Hamidah Osman – Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dan bekas Ketua Penerangan Wanita Umno Malaysia.

12. Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin – Bekas Ahli EXCO Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, pendaki Gunung Everest 2004 dan antara pendaki termuda Asia Tenggara yang berjaya menawan puncak tersebut.

13. Rahimi Osman – Mantan Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

14. Mohd Harfifi Mohd Dahalan – Bekas Ahli EXCO Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa.

Penyertaan mereka dijangka memberi impak signifikan terhadap dinamika politik tempatan, seterusnya bersama membina Malaysia ke arah lebih baik. – HARAKAHDAILY 14/6/2026

- Advertisement -