Hentikan hidangan arak dalam penerbangan MAS

‘Malaysia Madani’ mesti zahirkan Islam, bukan sekadar slogan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat memandang serius kenyataan Ahli Parlimen Kepong daripada DAP, Lim Lip Eng yang menyindir cadangan PAS supaya Malaysia Airlines (MAS) menghentikan hidangan arak dengan berkata, ‘kalau nak larang arak, buat sahaja PAS Airlines’.

Ketua Penerangan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, kenyataan itu bukan sekadar penghinaan terhadap PAS, tetapi turut menghina Islam sebagai agama Persekutuan.

“MAS dimiliki oleh Khazanah Nasional dan mewakili imej rasmi negara. Oleh itu, penyajian arak di bawah jenama milik kerajaan adalah bercanggah dengan prinsip Islam serta tidak menghormati sensitiviti majoriti rakyat Muslim,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, larangan arak bukan satu bentuk paksaan terhadap bukan Islam, sebaliknya dasar moral sejagat yang turut diiktiraf oleh semua agama besar dunia.

Memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Mā’idah ayat 90, beliau menjelaskan bahawa arak dan judi adalah najis daripada perbuatan syaitan yang mesti dijauhi agar manusia mencapai kejayaan.

“Dewan Ulamak PAS juga menegaskan bahawa kru penerbangan Muslim mesti dibenarkan menutup aurat dengan sempurna sebagai hak beragama yang dijamin Perlembagaan.

“Jika kerajaan benar-benar mendukung gagasan ‘Malaysia Madani’, maka prinsip Islam sebagai agama Persekutuan mesti dijelmakan dalam dasar dan amalan, bukan sekadar slogan,” tegasnya.

Sehubungan itu, Dewan Ulamak tegasnya menyeru Khazanah Nasional dan Kementerian Pengangkutan supaya segera menghentikan hidangan arak dalam penerbangan MAS serta membenarkan kru penerbangan Muslim menutup aurat dengan sempurna.

Selain itu, katanya, semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu menilai semula operasi masing-masing agar selaras dengan prinsip Islam sebagai agama Persekutuan.

Memetik sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Nasai yang bermaksud, ‘Arak itu ibu segala kejahatan’, beliau menegaskan bahawa menolak arak bererti mempertahankan akhlak, maruah dan peradaban bangsa. – HARAKAHDAILY 26/10/2025

- Advertisement -
- Advertisement -