Trump bukan wira dunia Islam – Pemuda PAS Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap layanan mesra melampau yang diberikan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, semasa lawatan beliau ke Malaysia baru-baru ini.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun berkata, layanan tersebut seolah-olah mengabaikan rekod lampau Trump yang terkenal dengan dasar Islamofobia, kezaliman terhadap umat Islam, serta sokongan terbuka terhadap rejim Zionis.

“Kami melihat layanan yang terlalu mesra ini bukan sahaja mencalarkan sensitiviti umat Islam, malah menggambarkan seolah-olah Malaysia tunduk kepada kuasa besar yang pernah menghina Islam dan menindas saudara seagama kita,” tegas beliau dalam satu kenyataan media.

Lebih membimbangkan katanya, kunjungan itu turut disertai rundingan atau perjanjian ekonomi berat sebelah yang berisiko memberi kelebihan besar kepada Amerika Syarikat sambil menjejaskan kedaulatan ekonomi Malaysia.

Pemuda PAS Negeri menegaskan bahawa hubungan antarabangsa mesti diasaskan atas prinsip keadilan, maruah dan dasar Islam, bukan sekadar kepentingan politik atau ekonomi jangka pendek.

Haziq Asyraf menggariskan empat ketetapan utama iaitu, kehadiran Donald Trump tidak wajar diraikan secara berlebihan, apatah lagi diberi penghormatan yang boleh mengguris perasaan umat Islam.

Menurutnya, Kerajaan Malaysia mesti menjelaskan kepada rakyat isi serta implikasi sebenar sebarang perjanjian atau rundingan yang dijalankan sempena kunjungan tersebut.

Tambahnya, kepentingan ummah dan kedaulatan negara mesti diutamakan, mengatasi segala keuntungan sementara dan Malaysia perlu konsisten membela Palestin serta menolak sebarang bentuk penindasan terhadap dunia Islam.

Haziq Asyraf juga berkata, tindakan melayan pemimpin yang pernah menghina Islam dengan penuh kemegahan bukan sahaja tidak berprinsip, malah boleh menjejaskan imej Malaysia sebagai negara Islam contoh di mata dunia.

“Kami menyeru kerajaan agar berhati-hati dalam menjalin hubungan antarabangsa. Maruah Islam, kedaulatan negara, dan suara umat tidak boleh sama sekali diperdagangkan atas nama diplomasi atau ekonomi,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri. – *HARAKAHDAILY 29/10/2025*

- Advertisement -