Rafizi hina PAS, tutup kegagalan formula ekonomi

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ketua BERSATU Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris menyifatkan kenyataan bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, yang mendakwa pemimpin PAS tidak mempunyai ‘growth mindset’ sebagai retorik kosong hanya sedap didengar namun jauh daripada realiti.

- Advertisement -

Razali berkata, hakikatnya Rafizi sendiri gagal menterjemahkan idea dan formula ekonomi yang dicanangkan ketika berada dalam Kabinet, malah prestasi kementerian yang diterajuinya ketika itu menjunam.

“Rakyat hanya mampu tersenyum mendengar kenyataan itu kerana realitinya, bekas Menteri Ekonomi itu sendiri gagal menterjemahkan segala idea dan formula ‘melangit’ yang sering dicanangkannya semasa berada dalam kabinet.

“Malah, pencapaian kementeriannya ketika itu menunjukkan penurunan mendadak. Tidak sampai tiga tahun memegang jawatan, Rafizi mengundurkan diri seolah-olah mahu melarikan diri daripada kesilapan yang dilakukan dari semasa ke semasa.

“sehingga akhirnya tewas dalam pemilihan Timbalan Presiden partinya sendiri. Sebenarnya, individu yang tidak mempunyai ‘growth mindset’ itu ialah beliau sendiri dan rakyat sangat terkesan kegagalan mutlak bekas Menteri Ekonomi ini.

“Berkait kos sara hidup meningkat, harga barang mencanak-canak naik, nilai ringgit yang merosot serta pertumbuhan ekonomi yang lembap sepanjang tempoh pentadbirannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Razali berkata, formula ekonomi yang diperkenalkan Rafizi tidak lagi diyakini oleh kepimpinan tertinggi kerajaan termasuk Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan serta Presiden partinya sendiri.

“Terus muhasabah dan istiqamah YB Pandan. Jadi jangan hendak nampakkan rungutan parti PAS dan PN sendiri yang seolah-olah dilihat sebagai ‘play victim’. Sebenarnya ada berlaku pengkhianatan pembangunan rakyat di negeri yang diperintah oleh parti PAS dan PN,” katanya.

Dalam pada itu, Razali berkata, Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sentiasa bersikap terbuka dan proaktif terhadap dua projek infrastruktur mega di Pantai Timur, iaitu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3).

Katanya, Terengganu bukan sahaja menyokong pelaksanaan projek ECRL, malah negeri itu mencatatkan kemajuan pembinaan paling pantas berbanding negeri lain dengan beberapa seksyen telah siap lebih 90 peratus.

Kerajaan negeri turut menyambut baik penglibatan kontraktor serta tenaga kerja tempatan dalam projek itu, yang diyakini membawa limpahan ekonomi terus kepada rakyat.

Antara manfaat utama ECRL termasuk mempercepatkan masa perjalanan antara Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur kepada hanya tiga hingga empat jam.

Malah, menjadi pemangkin pembangunan berorientasikan transit (TOD), merangsang pelancongan serta mengimbangi pembangunan antara Pantai Timur dan Pantai Barat.

Mengulas mengenai projek LPT3, Razali berkata, kerajaan negeri menuntut komitmen penuh daripada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan projek yang tertangguh sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) itu dapat disegerakan.

“Kajian awal sudah siap. LPT3 bukan lagi projek tambahan, tetapi satu keperluan mendesak bagi melengkapkan jaringan lebuh raya Pantai Timur,” katanya.

Beliau berkata, LPT3 yang bakal menghubungkan Gemuruh, Kuala Nerus ke Kota Bharu, Kelantan dijangka menjadi pemacu utama ekonomi wilayah, mengurangkan kesesakan di Jalan Persekutuan 3 serta mewujudkan koridor perindustrian baharu.

“Kerajaan Terengganu menerima ECRL dengan penuh kesyukuran kerana manfaatnya nyata kepada rakyat, manakala LPT3 pula menjadi projek yang amat diimpikan bagi melengkapkan pembangunan rangkaian pengangkutan di kawasan Pantai Timur yang selama ini mengalami ketidakseimbangan wilayah,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2025

- Advertisement -