Ringgit kukuh, realitinya rakyat masih terhimpit

Dr Abu Sufian Abu Bakar
- Advertisement -

​KUALA LUMPUR: Di sebalik hebohan kerajaan mengenai kejayaan Ringgit Malaysia mengukuh ke paras RM3.99 berbanding Dolar AS baru-baru ini, penganalisis ekonomi menyifatkan situasi tersebut sebagai satu ‘paradoks’ yang menyakitkan bagi rakyat terbanyak.

- Advertisement -

​Biarpun media arus perdana kecoh menjaja naratif kejayaan ekonomi negara susulan peningkatan nilai mata wang sebanyak 10.3 peratus sepanjang 2025, namun realiti di lapangan memperlihatkan rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup yang mencengkam serta kadar upah yang tidak setimpal.

​Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Abu Sufian Abu Bakar berkata, pengukuhan ringgit tidak seharusnya mengaburi mata masyarakat terhadap masalah struktur ekonomi yang semakin kritikal.

​Menurut beliau, wujud jurang yang ketara antara prestasi makroekonomi yang dicanang kerajaan dengan kesejahteraan sebenar isi rumah.

​”Persoalannya, mengapa rakyat masih terhimpit dengan kos sara hidup sedangkan ekonomi negara kononnya berkembang pesat?

​”Ramai yang bekerja tetapi tidak dibayar mengikut kelayakan. Lambakan graduan terpaksa menerima pekerjaan yang tidak setaraf pendidikan, malah bekerja lebih masa namun gaji diterima masih tidak mampu menampung kos hidup,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, situasi ini berpunca daripada kegagalan struktur yang kritikal di mana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan angka dagangan mencecah RM3.06 trilion gagal diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan sebenar rakyat.

​Lebih membimbangkan, katanya lagi, pengukuhan ringgit yang dilaungkan sebagai kejayaan dasar kerajaan sebenarnya banyak bergantung kepada faktor luaran yang berada di luar kawalan Putrajaya.

​Abu Sufian turut menjelaskan, faktor utama lonjakan ringgit adalah keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) menurunkan kadar faedah, yang merapatkan jurang dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia.

​”Kestabilan ringgit masih terikat kepada keputusan penggubal dasar di Washington, bukan Putrajaya.

​”Apabila landskap ekonomi di AS berubah, kedudukan ringgit juga akan terjejas. Kita tidak boleh terus bergantung kepada nasib baik faktor luaran yang bersifat sementara

​Satu lagi ironi yang didedahkan adalah prestasi Bursa Malaysia yang disifatkan ‘layu’ dan gagal menarik minat pelabur tempatan, meskipun Pelaburan Langsung Asing (FDI) dilaporkan meningkat,” ujar beliau.

​Katanya, data menunjukkan pelabur tempatan seolah-olah hilang keyakinan dengan prospek syarikat Malaysia dan beralih arah ke pasaran luar demi pulangan yang lebih baik.

​”Apabila wang rakyat mengalir ke luar negara, ini adalah tanda amaran besar. Ia mencerminkan krisis keyakinan yang mendalam terhadap daya saing korporat dan persekitaran perniagaan negara di bawah pentadbiran hari ini,” tegas beliau.

​Dalam pada itu, Abu Sufian turut menggariskan tiga kekangan utama yang sedang memerangkap ekonomi Malaysia iaitu peraturan berlebihan yang mematikan semangat keusahawanan, persepsi rasuah yang meningkatkan kos perniagaan, serta ancaman pesaing serantau seperti Vietnam yang lebih agresif melakukan reformasi.

​Justeru, beliau mengingatkan kerajaan supaya tidak hanyut dibuai momentum positif jangka pendek semata-mata.

​”Keyakinan terhadap ekonomi perlu dibina atas transformasi struktur yang kukuh, bukan faktor luaran yang tidak menentu. Kita memerlukan persekitaran perniagaan yang lebih kompetitif, telus dan bebas daripada rasuah,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2026

- Advertisement -