Kemelut PAS-BERSATU: Apa pandangan penganalisis politik?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman tampil mengusulkan agar pertikaian terbuka di media sosial antara PAS dan BERSATU dapat dihentikan kerana perbuatan itu boleh menjejaskan imej PN.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz bagaimanapun menyambut cadangan tersebut sambil meletakkan syarat permohonan maaf daripada PAS sebagai langkah awal menyelesaikan konflik itu.

Penganalisis politik, Dr Iskandar Hassan Tan Abdullah melihat permintaan Faisal pada zahirnya mengangkat seruan damai, namun dari segi kandungan sebenarnya lebih menyerupai satu pendakwaan politik sepihak terhadap PAS.

- Advertisement -

Menurut beliau, seruan supaya polemik terbuka dihentikan itu selari keputusan Permukiman PAS Pusat 2026 yang memutuskan Perikatan Nasional (PN) kekal gabungan utama dan perlu diperkukuhkan untuk menghadapi cabaran kelak.

Dr Iskandar berkata, masa PN sedang dibazirkan polemik elit yang tidak berkesudahan ketika persediaan jentera akar umbi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka dan juga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Dalam konteks ini, seruan supaya diadakan gencatan senjata dan diadakan mesyuarat penuh PN segera (oleh PAS) adalah satu seruan yang rasional. Namun begitu, sambutan daripada Tun Faisal, hadir dengan nada angkuh dan defensif.

“Ia seolah-olah PAS perlu diperingatkan tentang adab dan kesetiaan, sedangkan fakta menunjukkan PAS-lah pihak yang sejak awal menahan diri, tidak membalas serangan terbuka dan berusaha menurunkan suhu konflik,” katanya.

Iskandar Hassan dalam ulasannya itu turut menegaskan, seruan damai yang sebenar tidak dimulakan dengan mengutip kesalahan, sebaliknya ia bermula oleh ‘jiwa besar’ bagi menghentikan polemik antara kedua-dua pihak.

Beliau berkata, BERSATU juga gagal mengakui punca sebenar konflik, iaitu vakum kepimpinan PN setelah sebulan lebih Pengerusi PN meletak jawatan awal tahun ini, selain kegagalan mekanisme kolektif PN berfungsi dengan baik

Dalam konteks itu katanya, sebarang gesaan PAS untuk menyelesaikan isu kepimpinan, bukanlah serangan terhadap BERSATU, tetapi satu tuntutan tanggungjawab demi memastikan kelangsungan gabungan itu pada masa hadapan.

Menurutnya, gabungan politik tidak boleh bergerak melalui ‘teknikaliti’ yang lebih longgar daripada fakta asas surat letak jawatan bertarikh, sedangkan krisis itu semakin merosakkan disiplin dan keyakinan rakyat.

“Cubaan meletakkan kesalahan kepada PAS dengan mendakwa PAS kemaruk jawatan atau menyerang secara terbuka juga mengabaikan hakikat bahawa PAS memilih untuk menahan diri daripada membalas serangan secara emosional.

“Pendekatan PAS sejak awal adalah meredakan keadaan, mengelakkan konflik terbuka dan membuka ruang penyelesaian politik melalui musyawarah. Malah, dokumen yang kini berada dalam pengetahuan umum membuktikan komitmen PAS.

“Surat Tan Sri Abdul Hadi Awang yang bertarikh 14 Disember 2024 kepada Muhyiddin sebagai Pengerusi PN menunjukkan PAS menzahirkan sokongan berterusan secara tertib kepada kepimpinan mantan Perdana Menteri itu.

“PAS juga mencadangkan pengwujudan Majlis Presiden sebagai badan penasihat dan pengawal selia yang memelihara dasar serta hala tuju sambil menegaskan Majlis Tertinggi PN perlu berfungsi sebagai Badan Eksekutif,” katanya dalam rencana disiarkan Sinar Harian.

Entiti tersebut ujarnya, merupakan melaksanakan perancangan organisasi, pentadbiran dan strategi pilihan raya dengan akauntabiliti kepada Majlis Presiden yang dianggotai presiden empat parti, PAS, BERSATU, GERAKAN dan juga MIPP.

PAS katanya, turut menekankan konsep musyawarah dalam pelantikan jawatan utama calon Perdana Menteri dan Menteri Besar serta mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas pemerkasaan bagi memperkukuh jentera dan kebolehmenangan PN.

Kesungguhan PAS untuk menyelesaikan kemelut secara rasmi turut terserlah apabila notis Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN pada 23 Januari dikeluarkan oleh Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hasan.

Pertemuan tersebut katanya, bertujuan bagi menetapkan agenda kritikal termasuk mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi PN dan melantik pengerusi baharu, bagaimanapun terjejas akibat komunikasi yang tidak selaras.

“Surat Muhyiddin bertarikh 27 Januari lalu mengukuhkan hujah bahawa PAS bertindak dengan jiwa besar ketika Ahli Parlimen Pagoh itu merakamkan penghargaan Abdul Hadi melawat kediamannya pada beberapa hari sebelum itu.

“Kunjungan hormat itu disertai Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagi mencari jalan penyelesaian berhubung pelantikan Pengerusi PN.

“Antara kandungan surat itu Presiden PAS menekankan supaya PN mesti kekal sebagai gabungan yang kuat serta mampu menarik sokongan rakyat Malaysia sekali gus membuktikan PAS sebuah parti mementingkan suasana kepada pemulihan,” ujarnya.

PAS juga kata Dr Iskandar, menyambut baik komitmen memperkukuh PN dan mengulangi pendirian Majlis Presiden perlu berfungsi sebagai badan penasihat dengan bidang kuasa yang diteliti semula melalui jawatankuasa teknikal bersama.

Beliau berkata, Presiden PAS menegaskan kenyataan Muhyiddin bahawa jawatan Pengerusi PN dimansuhkan dan isu pelantikan pengerusi ‘tidak lagi berbangkit’ ialah perkara tidak dibincangkan, termasuk dalam pertemuan 16 Januari lalu.

“Penegasan ini amat kritikal membuktikan PAS bukan pihak yang bermain persepsi dan hanya menuntut apa yang dipersetujui itu kekal dipatuhi dan apa yang belum dimusyawarahkan itu jangan diisytiharkan keputusan muktamad.

“Bahkan dalam surat yang sama, PAS menggariskan kedudukan prinsip yang konsisten sejak 14 Disember 2024 lagi, iaitu Majlis Presiden sebagai badan penasihat dan pengawal selia dasar.

“Majlis Tertinggi PN (pula) sebagai Majlis Eksekutif pelaksana dan jawatan Pengerusi PN hendaklah kekal serta diurus tadbir menurut peruntukan perlembagaan sedia ada.

“Ini menjadikan jelas bahawa PAS bukan anti-reform. PAS menyokong penstrukturan, tetapi penstrukturan mesti dibuat secara tertib, kolektif dan selari dengan peruntukan yang dipersetujui bersama, bukan diumumkan sepihak seolah-olah telah dimuktamadkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2026

- Advertisement -