PBT dan Kelantan: Bagaimana dasar membentuk jiwa sebuah bandar

- Advertisement -

SAYA orang Kelantan dan membesar di Kelantan. Siapa yang pernah ke Kelantan pasti bersetuju dengan saya bahawa bandar-bandar di sana, walaupun tidak sempurna tetapi ada satu rasa yang sukar dijelaskan.

Bandar di Kelantan tenang, tertib dan tidak menyesakkan jiwa. Ruang awamnya tidak dipenuhi perkara yang melampaui batas. Cara hidup masyarakatnya sederhana, tidak agresif, dan ada sempadan yang jelas antara kebebasan dan adab.

Apabila dewasa dan mula mengkaji isu tadbir urus, barulah saya sedar bahawa suasana itu bukan kebetulan. Bandar itu dicorak oleh keputusan-keputusan yang dibuat oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengenai lesen, peraturan, garis panduan dan apa yang dibenarkan wujud dalam kehidupan seharian rakyat.

- Advertisement -

Ramai memandang PBT penting untuk memberi khidmat menguruskan sampah, longkang, papan tanda dan parkir. Hakikatnya, peranan PBT jauh lebih daripada itu.

PBT ialah pembentuk budaya sesuatu bandar. Apa yang diberi lesen akan menjadi biasa. Apa yang dibiarkan lama-lama akan dianggap normal. Sebab itu saya pernah menulis dan menerbitkan artikel bersama Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengenai kuasa PBT sebagai institusi yang sangat besar pengaruhnya, walaupun sering dianggap kecil. PBT adalah peringkat kerajaan yang paling hampir dengan rakyat.

Keputusan mereka masuk terus ke ruang hidup, depan mata anak-anak, di jalan yang kita lalui setiap hari, di kawasan kejiranan kita. Di tangan pemimpin yang berprinsip, PBT boleh menjadi alat mendidik masyarakat. Di tangan pemimpin yang salah, kesannya sangat menakutkan.

Sebagai contoh, isu kawalan arak di Kelantan ditangani melalui dasar, pelesenan dan kuasa PBT.  Ruang penjualan dikawal, lokasi dihadkan, keterlihatan arak dalam ruang awam disempitkan. Bukan untuk menzalimi sesiapa, tetapi untuk menjaga maslahat umum dan sensitiviti majoriti Muslim.

Hasilnya terasa pada suasana bandar, pada keselamatan sosial, pada cara hidup yang lebih beradab. Inilah prinsip Islam yang sering dilupakan. Menutup jalan mudarat sebelum ia menjadi kerosakan besar.

Dalam fiqh, kita mengenalinya sebagai sadd al-zara’i. Islam tidak menunggu masalah membesar baru bertindak. Islam bertindak di peringkat dasar. Jika pilihan raya PBT dilakukan, dalam keadaan undi orang Melayu berpecah, siapakah yang akhirnya menguasai PBT? Apakah nilai yang akan dibawa?

Adakah mekanisme ini menguatkan maslahat, atau membuka ruang mudharat yang lebih besar? Sebab itu bagi saya, umat Islam tidak boleh berdiam diri. Kuala Lumpur adalah ibu kota Malaysia. Apa yang berlaku di sini bukan sekadar isu pentadbiran bandar, tetapi penanda arah nilai negara.

Bersuara bukan kerana takut kepada kajian, tetapi kerana faham betapa besar kesan kuasa PBT apabila jatuh ke tangan yang salah. Ia akan menentukan cara hidup sebuah bandar dan generasi yang membesar di dalamnya.

USTAZAH ASMAK HUSIN
Pendakwah – HARAKAHDAILY 6/2/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -