
SEREMBAN: Dr Haim Hilman Abdullah menyifatkan pertuduhan jenayah dihadapinya sebagai satu perkara yang perlu terus dibongkar demi mempertahankan hak anak-anak miskin pelbagai kaum untuk mendapat akses pendidikan tinggi secara adil dan berasaskan merit.
Tegasnya, tindakan beliau mempersoalkan dasar kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) adalah satu perjuangan keadilan demi seluruh rakyat Malaysia dan beliau nekad serta istiqamah untuk tidak menghentikan desakan tersebut.
Kenyataan berani itu disuarakan oleh beliau sebagai Orang Kena Saman (OKS) selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana membuat ucapan yang didakwa mendatangkan kegusaran serta ketakutan awam.
“Terima kasih kepada yang hadir pada pagi ini. Apa yang sebenarnya saya perjuangkan adalah tentang hak anak-anak miskin khususnya tak kira bangsa Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak untuk dapat akses kepada pendidikan tinggi secara adil dan berasaskan merit.

“Jadi hari ini saya dituduh dengan perkara yang saya rasa adalah sesuatu yang perlu terus kita bongkar. Kerana apa saya kata begitu? Kerana saya mempersoalkan tentang polisi, tentang dasar kemasukan ke universiti yang various untuk anak bangsa kita sendiri.
“Jadi apa yang boleh saya katakan, saya kekal istiqamah untuk memperjuangkan perkara ini demi keadilan pendidikan buat anak-anak Malaysia, demi keadilan buat semua rakyat Malaysia dan insya-Allah perjuangan ini tidak akan berhenti di sini.
“Insya-Allah bersama kita dalam usaha mengembalikan hak anak-anak Malaysia semua untuk mendapat pendidikan dan akses universiti yang adil. Insya-Allah,” tegas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu.
Kes ini tercetus rentetan kelantangan beliau mengkritik secara terbuka sistem pengurusan kemasukan pelajar ke universiti tempatan hingga membawa laporan polis susulan Ceramah Ambang PRN Negeri Sembilan di Markas PAS Seremban, baru-baru ini.
Berdasarkan laporan media bertarikh 25 Jun 2026, siasatan dan pendakwaan terhadap beliau dijalankan susulan kenyataannya membongkar wujudnya amalan salah guna kuasa atau penggunaan saluran ‘pintu belakang’ untuk kemasukan pelajar ke IPTA.
Ucapan berkenaan didakwa oleh pihak berkuasa sebagai cubaan yang boleh mencetuskan keresahan, polemik, serta ketakutan dalam ekosistem pendidikan dan masyarakat awam.
Sementara itu, peguam bela utama, Mohd Faizi Che Abu memaklumkan, bahawa anak guamnya dibenarkan ikat jamin pada kadar RM5,000 dengan seorang penjamin oleh mahkamah selepas prosiding berjalan lancar.

Pihak pembelaan juga berjaya menyanggah cubaan pihak pendakwaan yang menuntut agar dokumen perjalanan antarabangsa milik Dr Haim Hilman diserahkan kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada syarat jaminan.
“Dr Haim dikenakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu membuat satu ucapan yang mendatangkan kegusaran awam dan hari ini proseding tu berjalan lancar.
“YB telah pun mengaku tidak bersalah dan kita telah diberikan jaminan pada kadar RM5,000 dengan seorang penjamin walaupun ada percubaan untuk menghukum dengan meminta dokumen perjalanan antarabangsa supaya diserahkan kepada mahkamah.
“Tapi kita membantah permohonan tersebut dan mahkamah bersetuju bahawa pada peringkat ini tidak ada alasan untuk YB menyerahkan dokumen perjalanan antarabangsa beliau.
“Kerana pertuduhan ini bukanlah pertuduhan yang serius, tetapi dikenakan juga kepada YB. So hari ini selesai proseding itu kita tunggu pada 30 Julai untuk serahan dokumen,” ujarnya.
Kes sebagai tekanan terhadap kritikan polisi
Dalam pada itu, seorang lagi peguam yang mewakili tertuduh, Dr Yusfarizal Yusoff melahirkan kekesalan dan menyifatkan kes pendakwaan ini berkemungkinan besar bermotifkan tekanan serta gangguan terhadap hak kebebasan bersuara ahli politik di negara ini.
Menurutnya, intipati ucapan Dr Haim Hilman hanyalah bersandarkan kepada kritikan dasar atau polisi kerajaan yang sepatutnya menjadi perkara lumrah dalam amalan demokrasi dan bukannya dituduh sebagai pencetus kegusaran awam.
“Kami pasukan pembelaan mengambil pendirian bahawa kes ini mungkin merupakan satu tekanan dan juga satu gangguan kepada kebebasan bersuara.
“Kita perlu nyatakan bahawa apa yang YB nyatakan dalam ceramah dan juga saya rasa ahli-ahli politik yang lain adalah kritikan-kritikan terhadap isu polisi kerajaan. Jadi sepatutnya tidak dilihat sebagai satu yang mengganggu ketenteraman awam.
“Sebaliknya ketenteraman awam ni terganggu dengan perkara-perkara yang tidak baik, perkara-perkara yang yang buruk. Tetapi ini adalah kritikan polisi.
“Jadi kami pembelaan akan tetap dengan pendirian tersebut dan akan mengemukakan menggunakan peluang ruang mahkamah ini untuk membuktikan bahawa YB tidak bersalah dalam apa yang dinyatakan,” ujarnya.
Mahkamah Majistret Seremban menetapkan tanggal 30 Julai depan bagi sebutan semula kes untuk pengurusan serta proses penyerahan dokumen berkaitan. –HARAKAHDAILY 25/6/2026











