
KUALA LUMPUR: Ts Dr Subash Chandrabose M Arumugam menegaskan, nilai sering dikaitkan dengan Islam seperti kejujuran, menolak rasuah, membantu golongan susah adalah antara nilai sejagat yang dihormati semua agama dan masyarakat bertamadun.
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Wilayah Persekutuan itu berkata, ada pihak mendakwa PAS hanya ‘menunggang agama’, namun perkara itu perlu dilihat daripada sudut yang lebih luas.
“Jika ‘menunggang agama’ bermaksud mengajak manusia kepada kejujuran, menolak rasuah, membantu golongan susah, menghormati ibu bapa, menjaga akhlak dan menegakkan keadilan, maka nilai-nilai itu bukan milik orang Islam sahaja.
“Ia adalah nilai sejagat yang dihormati oleh semua agama dan masyarakat bertamadun,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, walaupun bukan seorang Muslim, beliau tidak pernah melihat Islam sebagai ancaman kepada masyarakat.
“Saya tidak memeluk Islam. Namun saya tidak pernah melihat Islam sebagai ancaman. Sebaliknya, saya melihat banyak nilai dalam Islam yang selari dengan prinsip kemanusiaan yang saya pegang sejak kecil,” tegasnya.
Subash memaklumkan, masyarakat hari ini sering keliru antara agama dan politik kepartian sehingga menyebabkan agama menjadi sasaran dalam perdebatan politik.
“Mengkritik sesebuah parti adalah hak dalam demokrasi. Tetapi memperlekeh agama yang menjadi pegangan jutaan rakyat Malaysia bukanlah jalan yang membawa kita ke arah perpaduan,” ulasnya.
Beliau berkata, Malaysia tidak memerlukan lebih banyak kebencian antara kaum dan agama, sebaliknya memerlukan pemimpin yang berani memperjuangkan integriti, keadilan, kebajikan dan tanggungjawab.
“Jika itu yang dimaksudkan dengan ‘menunggang agama’, saya lebih selesa menyebutnya sebagai membawa nilai-nilai murni ke dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2026











