‘Hormati keputusan gabungan, fokus PRN Johor’

PN tegas pertahan disiplin organisasi menjelang PRN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua parti komponen, kepimpinan dan jentera Perikatan Nasional (PN) perlu memberikan sepenuh tumpuan kepada gerak kerja Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas rundingan kerusi diselesaikan secara muafakat.

Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, proses rundingan kerusi bagi menghadapi PRN Johor telah dimuktamadkan menerusi mekanisme rasmi PN dan watikah pelantikan calon-calon gabungan itu juga telah ditandatangani.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, proses rundingan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor telah diselesaikan secara muafakat melalui mekanisme rasmi Perikatan Nasional.

“Sehubungan itu, saya telah menandatangani watikah pelantikan calon-calon PN bagi menghadapi pilihan raya tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Menteri Besar Terengganu itu, keutamaan PN ketika ini ialah menawarkan kepimpinan yang berintegriti, dasar yang membela rakyat serta membawa harapan baharu demi kesejahteraan rakyat Johor.

Samsuri berkata, beliau mengambil maklum kenyataan media Naib Presiden BERSATU bertarikh 23 Jun 2026 berhubung beberapa perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

Beliau menegaskan, PN bergerak berasaskan Perlembagaan, disiplin organisasi dan keputusan bersama yang dipersetujui melalui saluran rasmi gabungan.

“Setiap parti anggota, termasuk BERSATU, mempunyai ruang sepenuhnya untuk menyuarakan pandangan, mengemukakan bantahan dan mempertahankan pendirian masing-masing dalam mesyuarat.

“Namun, apabila sesuatu ketetapan telah dibuat melalui mekanisme rasmi gabungan, semua pihak wajib menghormatinya,” tegasnya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau turut menegaskan, PN tidak boleh dijadikan medan untuk mana-mana parti memilih keputusan yang mahu diterima dan mempertikaikan ketetapan yang tidak selari dengan pendirian mereka.

“Saya kesal apabila perkara dalaman gabungan dibawa ke ruang awam selepas mesyuarat berakhir,” kesalnya yang juga Ahli Parlimen Kemaman.

Mengulas mengenai penggunaan simbol PN dalam PRN Johor, beliau menyatakan, penggunaan simbol gabungan itu datang bersama tanggungjawab politik yang perlu dipikul oleh parti yang diberikan amanah untuk bertanding.

“Mana-mana parti yang diberikan amanah bertanding menggunakan simbol PN hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemilihan calon, gerak kerja pilihan raya, pengurusan kempen serta prestasi kerusi yang ditandingi,” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden BERSATU dilaporkan berpandangan, Mesyuarat Majlis Tertinggi PN sepatutnya ditangguhkan susulan surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Surat itu didakwanya terdapat dokumen tidak lengkap dan tidak ditandatangani serta meminta maklumat tambahan dikemukakan dalam tempoh tujuh hari.

Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu turut membantah kemasukan PCM ke dalam PN kerana mendakwa, permohonannya tidak teratur dan berpotensi menambah masalah dalaman gabungan ketika isu antara parti anggota masih belum diselesaikan.

Pada masa sama, beliau menegaskan, calon-calon parti BERSATU akan menggunakan logo PN pada Pilihan Raya Negeri Johor serta akan memastikan segala urusan PN dilaksanakan mengikut Perlembagaan PN, Akta Pertubuhan 1966 dan peraturan JPPM. – HARAKAHDAILY 25/6/2026

- Advertisement -