Agenda untuk rakyat atau mainan politik?

Isu Pilihan Raya Datuk Bandar

Dr Muhammad Fathi Yusof
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar, khususnya bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), telah mencetuskan perdebatan apabila timbul persoalan sama ada ia benar-benar bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat atau sekadar menghidupkan agenda politik parti tertentu?

- Advertisement -

Persoalan tersebut ditimbulkan Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof yang menegaskan, isu pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah diketahui selama diperjuangkan oleh pihak mana.

Menurutnya, cadangan ini timbul dalam konteks bandar raya yang majoriti penduduknya bukan Melayu, namun hampir kesemua Datuk Bandar yang dilantik sejak sekian lama terdiri daripada orang Melayu.

“Realiti ini tidak digemari oleh parti politik tertentu. Sebab itu, agenda yang konsisten sejak dulu ialah untuk memastikan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurutnya yang juga Pensyarah Undang-Undang dan Polisi, Universiti Teknolofi Malaysia (UTM), ada sebab kenapa Datuk Bandar lebih sesuai dilantik dari kalangan orang Melayu, khususnya daripada kalangan penjawat awam atau bekas penjawat awam.

“Pemilihan Datuk Bandar biasanya dibuat dari kalangan penjawat awam atau bekas penjawat awam yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran agensi kerajaan.

“Hakikatnya kebanyakan pegawai kanan sektor awam adalah kalangan orang Melayu, dan bila wujud kekosongan, kebanyakan calon yang layak untuk mengisinya adalah orang Melayu,” jelasnya.

Seterusnya, beliau menegaskan bandar raya adalah jantung hati kepada negara atau negeri.

“Ia adalah pusat pentadbiran, ekonomi dan sosial, bukan sahaja kepada penduduk di dalam sempadan bandar raya itu sahaja tetapi kepada penduduk di kawasan sekitarnya, atau mungkin seluruh negara dan negeri.

“Oleh itu, pentadbir utama bandar raya tidak boleh hanya mewakili kepentingan penduduk berdaftar dalam bandar raya itu sahaja, bahkan juga perlu mewakili kelompok  lebih besar,” hujahnya.

Justeru, atas hujahan tersebut beliau menegaskan pilihan raya kerajaan tempatan atau pilihan raya memilih Datuk Bandar tidak wajar dilaksanakan.

“Jika dilaksanakan ia membawa maksud kepentingan rakyat yang tidak menetap dalam bandar raya tetapi bergantung kepada bandar raya, telah diabaikan.

“Antara pihak yang menerima kesan besar ialah mereka yang saban hari masuk ke bandar raya untuk berkhidmat atau mencari rezeki,” ujarnya. 

Beliau juga menyatakan, dalam konteks Kuala Lumpur misalnya, jika dibandingkan antara ‘penduduk malam’ dan ‘penduduk siang’ didapati wujud perbezaan peratusan Melayu dan bukan Melayu dalam dua situasi berkenaan.

“Ramai orang Melayu tinggal di pinggir Kuala Lumpur yang setiap hari masuk ke kawasan bandar raya untuk mencari rezeki. Jika pilihan raya dilaksanakan suara mereka akan disisih,” hujahnya lagi.

Selain itu, ujar beliau, Pilihan Raya Datuk Bandar akan menghasilkan pemimpin yang populis.

“Calon-calon yang bertanding biasanya terpaksa bergabung dengan parti politik bagi memastikan wujud jentera kempen yang kuat. Hasilnya kita akan dapat Datuk Bandar dari kalangan ahli politik,” tegasnya lagi

Menurut beliau, rakyat Malaysia sudah berpolitik secara berlebihan. Setiap perkara dikaitkan dengan politik. Setiap kali pilihan raya kecil, atau pilihan raya umum negeri, isu-isu politik akan terus hangat. Fokus kepada kesejahteraan rakyat semakin kurang.

“Dalam realiti sebegini, kita pelik bila Menteri bercakap soal pilihan raya Datuk Bandar DBKL, sedangkan terlalu banyak agenda penting  perlu menjadi keutamaan untuk kesejahteraan penduduk Wilayah Persekutuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2026

- Advertisement -