
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah terus memperkukuh ekosistem keusahawanan sebagai nadi utama pertumbuhan ekonomi negeri melalui pelbagai inisiatif strategik yang memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, antara inisiatif dilaksanakan termasuk Geran Perniagaan i-Sejahtera, Skim Pinjaman Mikro Kredit Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK) dan Tabung Usahawan Wanita Sejahtera (TUWS).
Menurut beliau, kerajaan negeri turut memperluas usaha pendigitalan dan e-dagang melalui kerjasama bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi melahirkan lebih ramai usahawan celik teknologi.
Dalam masa sama, kerjasama erat dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus diperkukuh bagi memastikan tidak ada potensi keusahawanan yang tersisih di Kedah.
“Di Kedah, dianggarkan terdapat antara 45,000 hingga 50,000 usahawan aktif, atau mungkin lebih lagi. Majoritinya terdiri daripada perusahaan mikro dan kecil yang menjadi nadi sebenar ekonomi negeri,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sinergi Keusahawanan 2025, di sini semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa Kedah kini sedang menonjol sebagai destinasi pelancongan berdaya maju, dengan Langkawi kekal sebagai magnet utama, manakala tanah besar Kedah pula sedang rancak digilap potensinya.
Katanya, kerajaan negeri berhasrat membina ekosistem keusahawanan berasaskan pelancongan bagi membolehkan usahawan kecil dan mikro mengambil bahagian dalam rantaian nilai pelancongan, daripada produk kraftangan, makanan tradisional, homestay hingga ke perkhidmatan pelancongan digital.
“Jika tahun lepas statistik rasmi menunjukkan Kedah berada di tempat kelima dalam senarai negeri tumpuan pelancong dengan 6.9 juta pelancong direkodkan, tahun ini kita mensasarkan lebih 7 juta pelancong,” jelasnya.
Dato’ Mohd Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan berkata, setiap kehadiran pelancong membawa limpahan ekonomi kepada rakyat tempatan.
“Setiap pelancong yang datang bukan sekadar membawa kamera dan kenangan tetapi juga membawa peluang ekonomi baharu kepada rakyat tempatan,” katanya.
Langkah bersepadu ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam menjadikan sektor keusahawanan dan pelancongan sebagai dua tunggak ekonomi baharu Kedah Sejahtera yang lebih inklusif dan berdaya tahan. – HARAKAHDAILY 27/10/2025




















