Jurang nilai projek mega Pantai Barat jauh melebihi ECRL

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Datuk Ahmad Amzad Hashim menegur kenyataan Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli yang mendakwa negeri-negeri Pantai Timur telah menikmati pembangunan bernilai RM84 bilion menerusi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata, angka yang disebut bekas Menteri Ekonomi itu tidak tepat, malah laporan rasmi kerajaan dan syarikat pelaksana menunjukkan kos sebenar projek tersebut ialah RM74.96 bilion, bukannya RM84 bilion seperti didakwa.

“Kedua, adalah sangat tidak wajar membandingkan satu projek tunggal seperti ECRL dengan ratusan projek infrastruktur mega yang telah dan sedang dibangunkan di negeri-negeri Pantai Barat sejak merdeka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut menyenaraikan beberapa projek utama yang telah dilaksanakan di Pantai Barat dengan nilai keseluruhan melebihi RM160 bilion.

Beliau berkata antaranya, MRT Kajang Line (RM21 bilion), MRT Putrajaya Line (RM56.93 bilion), MRT3 Circle Line (RM45 bilion), LRT3 (RM16.63 bilion), KLIA (RM10 bilion), KLCC (RM6 bilion), West Coast Expressway (RM6.9 bilion) dan PLUS Highway (RM5.9 hingga RM8.8 bilion).

“Jumlah keseluruhan projek utama ini sahaja melebihi RM160 bilion, iaitu lebih dua kali ganda nilai keseluruhan ECRL, belum lagi termasuk pelabuhan utama seperti Port Klang, Penang Port, serta projek naik taraf jalan, hospital dan universiti di Lembah Klang dan negeri-negeri pantai barat.

“Itu pun dengan nilai kos ketika ia dilaksanakan jika dikira pada kos hari ini tentu nilai pembangunannya jauh berlipat ganda,” jelasnya Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat itu.

Menurut beliau, jurang pembangunan antara Pantai Barat dan Pantai Timur masih luas, bukan kerana tiada projek besar di Pantai Timur, tetapi akibat tumpuan pembangunan yang terlalu lama diberikan kepada negeri-negeri di Barat.

“Hakikatnya, jurang pembangunan antara Pantai Barat dan Pantai Timur masih luas, bukan kerana tiada projek besar di Pantai Timur, tetapi kerana berdekad-dekad tumpuan pembangunan tertumpu di Barat, membentuk ekosistem logistik, pelabuhan dan perindustrian yang jauh lebih menarik kepada pelabur.

“ECRL hanyalah satu langkah kecil untuk menyeimbangkan semula pembangunan negara, bukan hadiah besar yang mengimbangi kelebihan berpuluh tahun pembangunan di Pantai Barat,” ujarnya.

Ahmad Amzad berharap Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR agar berhenti menggunakan angka mengelirukan bagi mengaburi isu sebenar jurang pembangunan wilayah.

“Negeri dan rakyat Pantai Timur berhak mendapat pembangunan seimbang dan peluang ekonomi yang adil setanding negeri-negeri lain.

“Angka unjuran pertumbuhan yang dibuat untuk setiap wilayah dalam dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 menunjukkan dengan jelas jurang pertumbuhan Wilayah Timur yang jauh lebih rendah dari wilayah yang lain.

“Jika beginilah rancangan yang dibuat, ia bukan merapatkan jurang pembangunan malah melebarkan kerana negeri-negeri yang dirancang tumbuh pada kadar 4.7 peratus akan sentiasa makin ketinggalan dengan negeri negeri yang dirancang pertumbuhan pada kadar lima peratus, 5.2 peratus,” katanya.

Terdahulu, Rafizi menerusi satu siri podcast menyatakan bahawa projek yang kini menyumbang kepada hutang terbesar kerajaan ialah ECRL di mana dianggarkan menelan kos sekitar RM84 bilion dibangunkan di negeri-negeri Pantai Timur termasuk Kelantan serta Terengganu. – HARAKAHDAILY 27/10/2025

- Advertisement -