Runtuhan ECRL: Siapa yang bertanggungjawab?

- Advertisement -

​KUALA LUMPUR: Insiden runtuhan binaan di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 8, Jalan MRR2 FT28 di Batu Caves yang nyaris meragut nyawa seorang pengguna jalan raya menuntut satu siasatan menyeluruh dilaksanakan segera.

- Advertisement -

​Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Ts Shahronizam Noordin berkata, siasatan terhadap punca akar (root cause) adalah kritikal bagi membolehkan penambahbaikan dibuat dan kawalan risiko diperketatkan agar pisang tidak berbuah dua kali.

​Menurutnya, maklumat awal mendapati kejadian tersebut berpunca daripada perlanggaran boom skylift dengan struktur sementara steel canopy.

​”Apabila setiap pekerjaan tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), maka kewajipan duty of care atau tanggungjawab menjaga keselamatan perlu dikenal pasti.

​”Persoalannya, siapakah yang bertanggungjawab sehingga kejadian tersebut boleh berlaku?” soalnya.

​Mengulas lanjut mengenai Akta 514, beliau menjelaskan bahawa kewajipan menjaga keselamatan merangkumi majikan yang perlu menyediakan tempat kerja selamat dan sihat, serta pekerja yang wajib mematuhi arahan dan menggunakan peralatan perlindungan diri.

​Namun, merujuk kepada Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pengurusan Reka Bentuk dan Kerja Pembinaan) 2024 (CDM 2024), peranan pihak terlibat adalah lebih spesifik bermula dari fasa reka bentuk hingga penyerahan.

​”Dalam CDM, klien (pelanggan) bertanggungjawab memastikan projek dirancang dengan selamat sepanjang kitaran hayatnya, manakala Pereka perlu mereka bentuk dengan mengambil kira aspek keselamatan serta mengurangkan risiko.

​”Kontraktor pula mesti menguruskan kerja pembinaan dengan selamat, sementara Prinsipal Kontraktor bertindak sebagai penyelaras utama keselamatan di tapak pembinaan,” jelasnya.

​Beliau turut menegaskan peranan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO) hanyalah sebagai penasihat kepada majikan dan pekerja seperti menjalankan audit dan melapor kemalangan, namun secara perundangan, SHO tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan arahan.

​Terdahulu, seorang wanita nyaris maut selepas kenderaan jenis Suzuki Swift yang dipandunya dihempap runtuhan binaan projek ECRL dalam kejadian petang Selasa.

​Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mangsa, Gogilavani Ponnar bagaimanapun berjaya dikeluarkan orang awam beberapa minit sebelum pasukan penyelamat tiba.

​Operasi menyelamat turut disertai tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

​Punca sebenar kejadian kini diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk siasatan lanjut. – HARAKAHDAILY 20/11/2025

- Advertisement -