KRPPM gesa tangani kemasukan pelarian Rohingya

KRPPM bagi Polisi Polisi Pelarian menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa pelarian yang dikhuatiri maut atau hilang susulan insiden bot karam berhampiran sempadan maritim Thailand–Malaysia baru-baru ini.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) bagi Polisi Pelarian menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang dikhuatiri maut atau hilang susulan insiden bot karam yang membawa pelarian Rohingya berhampiran sempadan maritim Thailand–Malaysia baru-baru ini.

- Advertisement -

KRPPM turut menghargai tindakan pantas semua pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Malaysia, rakan antarabangsa serta komuniti tempatan, termasuk keberanian seorang nelayan yang menyelamatkan seorang mangsa di laut.

Menurut kumpulan itu, usaha tersebut mencerminkan naluri kemanusiaan Malaysia serta komitmen terhadap tanggungjawab serantau.

KRPPM menegaskan bahawa di luar respons kecemasan, tindakan segera dan penyelarasan serantau amat diperlukan bagi menangani punca utama krisis.

“Walaupun tragedi berulang di laut, ribuan pelarian terus mengambil risiko pelayaran berbahaya akibat konflik dan ketidaktentuan berterusan di Negeri Rakhine, Myanmar.

“(Ia) serta pengurangan bantuan kemanusiaan di Cox’s Bazar, Bangladesh, yang meninggalkan pelarian tanpa alternatif selamat,” ujar kenyataan itu.

Kenyataan itu dibuat bersama Pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid dan Naib Pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Turut sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan serta Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok serta Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Dr Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari

Keperluan tindakan serantau yang terselaras

Menurut KRPPM, Malaysia serta negara tuan rumah lain seperti Bangladesh tidak mampu menanggung krisis itu secara bersendirian.

“Tindak balas yang mampan memerlukan penyertaan semua negara anggota ASEAN. Pendekatan bersepadu yang merangkumi tanggungjawab bersama, pembiayaan bersama.

“Dan perkongsian beban yang dapat dijangka melalui satu mekanisme serantau amat diperlukan bagi mengukuhkan perlindungan sambil menyokong negara-negara tuan rumah,” terang kenyataan itu.

KRPPM turut menegaskan bahawa pendekatan punitif di sempadan tidak dapat mengurangkan pergerakan tidak teratur, sebaliknya memaksa pelarian memilih laluan yang lebih berbahaya dan meningkatkan kebergantungan kepada penyeludup.

Justeru itu, kumpulan tersebut menyeru kepada pembentukan satu rangka perlindungan serantau yang mengimbangi antara perlindungan kemanusiaan dan keselamatan sempadan dengan memanfaatkan platform sedia ada seperti Proses Bali serta Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre).

KRPPM menyatakan bahawa rangka perlindungan itu perlu merangkumi prosedur operasi standard bagi pendaratan selamat termasuk bantuan perubatan, pendaftaran dan perlindungan golongan rentan seperti wanita dan kanak-kanak.

“(Kedua) Piawaian perlindungan minimum yang menegakkan prinsip ‘non-refoulement’ dan memastikan akses kepada perlindungan.

“(Ketiga) Garis panduan pengenalpastian mangsa hilang atau terkorban di laut bagi membantu keluarga mendapatkan penutupan.

“(Keempat) Perkongsian risikan rentas sempadan dan penyelarasan operasi maritim yang disasarkan untuk membanteras sindiket penyeludupan.

“(Kelima) Mekanisme kemanusiaan bersama bagi pembahagian beban, penempatan sementara, dan kerjasama dengan UNHCR (Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian) serta IOM (Organisasi Antarabangsa untuk Migrasi).

“(Keenam) Prosedur penyiasatan berfokus mangsa dengan menumpukan pendakwaan kepada penyeludup, bukan mangsa, selaras dengan Garis Panduan ASEAN mengenai Pelaksanaan Prinsip Tanpa Hukuman untuk Perlindungan Mangsa Pemerdagangan yang dilancarkan pada Jun 2025,” jelas kenyataan itu.

KRPPM menegaskan bahawa sistem serantau berasaskan peraturan akan mengukuhkan keselamatan Malaysia dan negara ASEAN, selain menyediakan alternatif berperikemanusiaan kepada pelayaran berbahaya.

Akses kepada pendaftaran sivil dan hak asasi

KRPPM berkongsi kebimbangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bahawa tanpa pengiktirafan undang-undang, kumpulan rentan mudah dieksploitasi dan boleh mencetuskan ketegangan sosial.

“Rangka kerja ini perlu mengutamakan pendaftaran sivil, permit tinggal sementara, laluan pekerjaan formal, dan akses kepada perkhidmatan asas termasuk kesihatan dan pendidikan,” terangnya.

Kumpulan itu mengiktiraf perancangan kerajaan untuk melaksanakan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara Nombor 23.

Dalam pada itu, mereka menyeru Kementerian Dalam Negeri memperincikan keseluruhan proses DPP, menyelaras dengan UNHCR serta agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan membenarkan pemantauan oleh SUHAKAM bagi memastikan ketelusan serta pematuhan kepada piawaian perlindungan antarabangsa.

KRPPM turut menekankan bahawa laluan pekerjaan formal mampu menawarkan penyelesaian ‘menang-menang’ kerana ia mengurangkan eksploitasi sambil membolehkan pelarian menyumbang secara sah kepada ekonomi.

“Malaysia dan negara ASEAN lain boleh meneroka pendekatan berdasarkan keperluan tenaga kerja dan pemetaan kemahiran pelarian, dengan penglibatan sektor swasta di peringkat serantau,” cadang mereka.

Selain itu, KRPPM menegaskan bahawa ASEAN sebagai satu kolektif mesti menegakkan prinsip ‘non-refoulement’, dan tindakan menahan atau mengusir pelarian serta pencari suaka bercanggah dengan prinsip tersebut dan komitmen kemanusiaan ASEAN.

“Penggunaan penahanan imigresen secara lazim, termasuk penahanan kanak-kanak, adalah bercanggah dengan Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC).

“KRPPM menggesa kerajaan-kerajaan ASEAN melaksanakan alternatif kepada penahanan, memastikan kanak-kanak ditempatkan dalam penjagaan berasaskan komuniti dan kepentingan terbaik kanak-kanak sentiasa diutamakan,” gesanya.

Saranan tindakan segera

KRPPM dalam kenyataan sama menggesa kerajaan terus memberikan sokongan penuh kepada operasi SAR dan memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan kepada mangsa yang diselamatkan.

KRPPM turut meminta kerajaan bekerjasama rapat dengan negara jiran bagi mencari mangsa yang hilang serta menangani isu repatriasi atau penempatan sementara secara berperikemanusiaan yang tidak berasaskan penahanan atau pemulangan balik.

Selain itu, KRPPM menggesa Malaysia memulakan inisiatif diplomatik di ASEAN serta negara berkaitan untuk memeterai satu rangka perlindungan serantau yang merangkumi krisis pelarian maritim, pendaftaran, laluan pekerjaan formal serta mekanisme pembiayaan dan pembahagian beban.

KRPPM seru semua pihak bersatu

KRPPM menyeru semua pihak bersatu dalam misi dua hala, iaitu menyelamatkan nyawa hari ini serta menangani punca krisis untuk penyelesaian jangka panjang.

Di Malaysia, KRPPM menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, agensi maritim dan Ahli Parlimen merentas parti untuk membawa cadangan konkrit ke peringkat ASEAN.

KRPPM turut menegaskan komitmen untuk terus membangkitkan isu ini di Parlimen dan memudahkan dialog berterusan antara kerajaan, agensi PBB, masyarakat sivil dan kumpulan pelarian.

“KRPPM berdiri teguh bersama komuniti Rohingya yang terus menghadapi penindasan, pelarian dan ketidaktentuan. Respons kita akan mencerminkan ASEAN yang diimpikan (iaitu) selamat, berperikemanusiaan dan berasaskan kedaulatan undang-undang,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2025

- Advertisement -