
KUALA KETIL: Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Draf Rancangan Tempatan (RT) Majlis Daerah Bandar Baharu membuka ruang luas kepada rakyat setempat untuk terlibat secara langsung menyumbang idea, pandangan dan cadangan terhadap hala tuju pembangunan daerah itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria, berkata gerak kerja penyediaan dokumen penting tersebut telah dimulakan pada 21 Mei tahun lepas, melibatkan proses penelitian menyeluruh terhadap keperluan dan masa depan pembangunan daerah berkenaan.
Menurutnya, draf RT Bandar Baharu yang disediakan itu akan menjadi dokumen panduan utama bagi memandu dan menentukan hala tuju pembangunan daerah sehingga tahun 2035, termasuk penyusunan guna tanah, kemudahan awam, perumahan dan pembangunan kawasan baharu.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Bandar Baharu, Kedah 2035 (Penggantian) yang berlangsung di Dewan Seri Serdang, di sini.
Mansor turut menegaskan bahawa penduduk setempat mempunyai peranan besar dalam menyuarakan pandangan serta menyampaikan bantahan sekiranya terdapat perancangan yang tidak memenuhi kepentingan mereka.
“Semua ada peranan di sini, sebab tidak semua perancangan itu betul. Kita merancang, komuniti ada peranan masing-masing untuk memberi cadangan penambahbaikan.
“Ini adalah sesi yang dibenarkan oleh Akta dan dibenarkan rakyat untuk libat urus dalam isu tersebut. Saya nak minta Ketua Kampung khususnya, sampaikan maklumat ini kepada masyarakat untuk memberi kefahaman yang betul,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil itu turut memaklumkan bahawa Sultan Kedah telah bertitah agar Bandar Baharu dimajukan sebagai sebahagian kawasan industri baharu, selaras dengan potensi strategiknya yang berada di laluan pembangunan serantau.
“Kemajuan sama ada dari sudut pembangunan dan perindustrian perlu dibangunkan di Bandar Baharu agar dapat membuka peluang pekerjaan buat rakyat Kedah.
“Program ini sekali lagi mengukuhkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan rakyat diberi ruang secukupnya dalam menentukan masa depan pembangunan daerah mereka, selari dengan prinsip keterlibatan rakyat dan pembangunan yang lebih inklusif,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2025











