
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor gagal menjuarai carta negeri paling bahagia walaupun mempunyai dana yang besar dan berstatus negeri maju, sebaliknya berada di kedudukan corot dalam indeks tersebut.
Sallehen Mukhyi (PN-Sabak) berkata, berdasarkan laporan Indeks Kebahagiaan Malaysia (MHI) 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Selangor hanya mencatatkan skor 7.1, meletakkannya di tangga ke-14 daripada 16 negeri dan Wilayah Persekutuan.
”Ini bererti bahawa kita sebenarnya gagal menjuarai negeri yang paling bahagia. Bukan sekadar kita gagal menempati negeri paling bahagia, bahkan kita berada pada kedudukan yang ke-14, sedang duit kita banyak, sedang kita negeri paling membangun.
”Ada negeri yang duit banyak dan negeri yang membangun, seumpama Johor, berada pada skor yang lebih tinggi dalam MHI,” katanya semasa membahaskan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri perlu melakukan renungan dan kajian serius supaya setiap sen yang dibelanjakan bukan sekadar memenuhi tanggungjawab fiskal, tetapi mesti memberi impak kebahagiaan dan kesejahteraan hakiki kepada rakyat, selari dengan tema ‘Selangor Juara Rakyat Sejahtera’.
Dalam pada itu, Sallehen turut mempersoalkan peruntukan RM5 juta bagi pembangunan semula Hay Resort di bawah projek Sabak Bernam Development Area (SABDA).
Menurutnya, projek tersebut bukan satu keutamaan mendesak bagi rakyat Sabak Bernam, malah beliau mencadangkan agar projek itu diserahkan kepada pihak swasta untuk dibangunkan.
”Hay Resort yang sebelum ini telah berdiri, tersergam, ada di Sabak Bernam, ianya dirobohkan untuk dibangunkan semula.
”Saya fikir lebih baik kalau ianya diserah sahaja kepada mana-mana syarikat yang berminat, supaya Majlis Daerah dapat menumpukan pembangunan lain yang lebih berimpak kepada masyarakat ramai,” ujarnya.
Sallehen turut membawa keluhan ‘tokoh-tokoh tidak didendang’ dari Sabak Bernam yang mewakili pelbagai kaum dan latar belakang, sebagai isyarat jelas taraf hidup rakyat yang semakin terhimpit.
Antaranya, beliau memetik keluhan Tan Chiming, seorang pengusaha kedai basikal berusia 80 tahun di Pekan Sabak yang mendedahkan kemerosotan pendapatan yang ketara.
”Dulu dia berniaga boleh dapat RM1,000 satu hari, sangat senang. Sekarang nak dapat RM100 sangat susah. Ini gambaran taraf kehidupan rakyat yang sangat sempit,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai sekuriti makanan negara apabila memetik kata-kata seorang pesawah yang menggunakan istilah Banjar, “Maulah bandang kada untung” (Buat sawah pun tak untung); menunjukkan trend bahaya jika pesawah mula tawar hati untuk mengerjakan sawah.
Selain itu, beliau mendesak kerajaan menggantikan pusingan-U (U-turn) di Bagan Nira dengan pembinaan jejambat (flyover) di persimpangan Sepintas demi keselamatan penduduk, memandangkan lokasi tersebut kerap berlaku kemalangan maut.
Sallehen menyeru kerajaan negeri mengamalkan Fiqh Al-Aulawiyah (Fikah Keutamaan) seperti yang digariskan oleh ulama tersohor, Almarhum Profesor Dr Yusuf Al-Qardawi dalam pengurusan kerajaan.
Beliau menyokong pandangan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang berhubung isu padang golf, dengan menegaskan bahawa apabila berlaku pertembungan maslahah (kepentingan), kerajaan mesti memilih impak yang memberi manfaat kepada golongan yang lebih ramai.
”Keperluan kepada soal rakyat untuk mendapatkan rumah itu jauh lebih ramai. Bukan saya menafikan keperluan padang golf, tetapi keperluan orang ramai itu jauh lebih penting dan ini mesti diberi tumpuan,” kata. – HARAKAHDAILY 20/11/2025











