RMM RM300k: Dah dapat cucu hutang tak habis bayar

- Advertisement -

GEORGETOWN: Rakyat negeri Pulau Pinang dibelenggu dengan harga rumah mampu milik (RMM) yang terus melambung sekali gus menyumbang beban hutang perumahan yang semakin menekan golongan berpendapatan sederhana dan bawahan.

- Advertisement -

Bukhori Ghazali (PN-Pinang Tunggal) berkata, harga rumah mampu milik ketika ini sudah mencecah RM300,000, manakala di kawasan Seberang Perai pula tidak kurang daripada RM324,000.

“Masalahnya kalau orang nak pinjam ‘loan’ rumah tersebut, bulanannya RM1,700 selama 30 tahun. Maknanya beli rumah ini sampai dapat cucu pun hutang tak habis lagi,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu langsung tidak mencerminkan konsep mampu milik yang sepatutnya menjadi dasar perumahan negeri.

Bukhori turut menyentuh isu, bahawa trend rakyat Pulau Pinang membeli rumah di luar negeri, khususnya di Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim, kini semakin ketara.

“Pasai apa (Kenapa) trend ni (ini) jadi banyak? Pasai (Kenapa) tak mampu beli rumah di sini,” ujar beliau ketika berucap dalam sesi perbahasan Bajet 2026 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini.

Beliau mempersoalkan di manakah peranan kerajaan negeri dalam memastikan kepentingan rakyat terpelihara, sambil mencadangkan supaya syarat-syarat kelayakan rumah mampu milik diperketatkan dan dikaji semula agar benar-benar memihak kepada rakyat tempatan.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan agar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kembali memainkan peranan lebih aktif dalam pembinaan rumah mampu milik, khususnya di kawasan Seberang Perai Utara.

“Saya kurang pasti kenapa PDC tak buat rumah di kawasan Seberang Perai Utara, khususnya di Kepala Batas dan Tasek Gelugor. Dalam sidang terdahulu ada dicadangkan supaya PDC bina rumah di Kepala Batas, tapi senyap saja. Jadi saya mohon penjelasan,” katanya.

Menurut Bukhori, rumah yang dijual oleh PDC sebelum ini lebih murah berbanding harga pasaran, sekali gus memberi harapan kepada rakyat yang benar-benar ingin memiliki rumah sendiri tanpa terbeban dengan hutang jangka panjang.

“Kalau kita tengok rumah yang PDC juai ni, harganya murah sedikit, murah dari harga pasaran.

Sudah tiba masanya Kerajaan Negeri memperkukuh dasar perumahan demi ummah, memastikan pembangunan mampu milik benar-benar mencapai sasaran, bukan sekadar memenuhi angka dalam laporan tahunan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2025

- Advertisement -