Atasi pembangunan tempang: Semenyih perlu perubahan

- Advertisement -

​SHAH ALAM: Kerajaan Negeri disaran mengimplementasikan strategi ekonomi yang lebih pelbagai atau diversifikasi berpandukan iktibar daripada al-Quran bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa, di samping memberikan tumpuan serius terhadap pembangunan infrastruktur yang dilihat ketinggalan di kawasan pesat membangun.

- Advertisement -

​Nushi Mahfodz (PN-Semenyih) berkata, strategi itu mengambil semangat daripada Surah Yusuf ayat 67 yang menyentuh nasihat Nabi Yaakub A.S kepada anak-anaknya supaya tidak memasuki kota melalui satu pintu sahaja, sebaliknya masuk dari pintu-pintu yang berlainan.

​Menurutnya, dalam konteks ekonomi negeri, ia boleh diterjemahkan sebagai keperluan mempelbagaikan sektor ekonomi, rantaian nilai dan pasaran eksport bagi mengurangkan risiko sistemik, selain tidak meletakkan pergantungan penuh kepada satu sumber semata-mata.

​”Ringkasnya, ikhtiar strategik perlu dari pelbagai pintu, digabung dengan tadbir urus kukuh lagi berintegriti serta tawakal kepada Allah, barulah natijahnya kestabilan dan kesejahteraan ekonomi rakyat tercapai.

​”Antara solusi yang dicadangkan adalah implementasi Konsep Ekonomi Negara Hidayah yang boleh diterjemah melalui empat paksi iaitu merakyatkan lagi ekonomi, menyusun semula ekonomi, memastikan limpahan ekonomi serta pembangunan bandar yang seimbang,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2026 pada Persidangan Dewan Negeri Selangor di sini.

​Mengulas lanjut, Nushi turut menyarankan kerajaan negeri mencontohi model ekonomi Jerman pasca Perang Dunia Kedua yang memperkukuh Mittelstand atau perusahaan bersaiz sederhana menerusi reformasi Hartz, yang menjadikan ekonomi negara itu stabil kerana digerakkan oleh ribuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang tahan lasak, bukan sekadar pemain industri elit.

​Dalam pada itu, Nushi turut membawa rintihan penduduk Semenyih yang menyifatkan kawasan tersebut kini berhadapan dengan situasi ‘pembangunan tempang’ di mana projek perumahan berkembang pesat namun infrastruktur awam masih berada di takuk lama.

​Beliau menegaskan, tekanan hidup rakyat semakin tidak tertanggung akibat kesesakan trafik yang kritikal, justeru beliau mendesak agar penarafan Jalan Persekutuan Beranang, Semenyih dan Jalan Rinching disegerakan, selain menyelesaikan masalah penyempitan jalan atau bottle neck di hadapan Klinik Kesihatan Beranang.

​”Penduduk bertambah, rumah naik mencanak, tetapi infra kita tak sama naik. Semenyih juga mencadangkan agar kerajaan negeri berunding dengan MRT Corp dan Kementerian Pengangkutan agar sambungan MRT ke koridor Bandar Seri Putra, Jenderam dan Putrajaya dapat direalisasikan.

​”Ini kerana terdapat missing link antara MRT Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya yang hanya berjarak sekitar 15 hingga 18 kilometer, sedangkan kawasan tengah semakin padat tetapi tiada akses rel menyebabkan penduduk tiada pilihan selain menggunakan kenderaan sendiri,” jelasnya.

​Menyentuh aspek pendidikan, beliau meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberi perhatian serius terhadap permintaan mendesak Sekolah Rendah Agama (SRA) di kawasan pembangunan baharu seperti Bandar Tasik Kesuma, Ecohill dan Bandar Bukit Mahkota.

​Beliau turut membangkitkan isu Kelas Fardhu Ain dan Al-Quran (KAFA) An-Najah di Kampung Rinching Tengah yang kini menumpang di tanah milik pemaju dan memerlukan solusi kekal segera, sama ada menggunakan tanah bersebelahan Kompleks Masjid Bandar Tasik Kesuma atau tanah milik JAIS di Bandar Rinching.

​”Permintaan terhadap pendidikan agama terus meningkat kerana ibu bapa melihat ia sebagai benteng sosial anak-anak. Jika JAIS belum mampu membina sekolah baharu dalam masa terdekat, berikanlah sokongan dan permudah urusan pemutihan sekolah agama persendirian yang membantu melengkapkan sistem pendidikan sedia ada,” katanya lagi.

​Beliau turut menekankan perlunya projek tebatan banjir di kawasan kritikal seperti Kampung Rinching Tengah dan Desa Mahkota disegerakan mengikut jadual bagi mengelakkan bencana berulang. – HARAKAHDAILY 20/11/2025

- Advertisement -