
SHAH ALAM: Isu harga rumah yang semakin tidak terkawal di Selangor disifatkan bukan lagi sekadar statistik ekonomi, sebaliknya ia kini menjadi tekanan harian yang membebankan rakyat, terutamanya golongan muda dan keluarga yang baru memulakan kehidupan.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Yusfarizal Yussoff, berkata realiti kenaikan harga rumah di negeri ini dilihat tidak seiring dengan kadar pendapatan rakyat.
Menurutnya, laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan harga purata rumah di Selangor pada tahun 2024 mencecah RM557,425, meningkat sebanyak 3.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
”Di kawasan tertentu seperti Petaling Jaya, rumah teres dua tingkat kini berharga RM1 juta, manakala di Shah Alam melebihi RM700,000 dan di Klang lebih RM630,000.
”Ini sangat mahal sedangkan gaji median pekerja Selangor hanya RM2,900, walhal keperluan hidup wajar bagi isi rumah adalah RM5,854 sebulan. Jurang pendapatan dan kos hidup ini dilihat semakin melebar,” katanya.
Beliau yang juga seorang pengamal undang-undang melahirkan kebimbangan terhadap peranan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang dilihat seolah-olah tersasar daripada mandat asal penubuhannya.
Yusfarizal menegaskan, PKNS yang sepatutnya berfungsi membina rumah mampu milik dan mengimbangi pasaran, kini dilihat lebih cenderung kepada projek mewah dan kerjasama komersial.
”Pertanyaan Yang Berhormat (YB) Paya Jaras sangat relevan, berapa banyak rumah kos rendah dan mampu milik yang PKNS sendiri bina dalam lima tahun kebelakangan ini?
”Kita mahukan pembangunan sebenar untuk rakyat, bukan sekadar projek mewah,” tegasnya.
Mengulas mengenai Skim Rumah Selangorku, Yusfarizal berkata walaupun terdapat 23,835 unit siap dan lebih 189,105 unit dalam perancangan, ia masih menimbulkan pelbagai persoalan mengenai ketelusan agihan kepada golongan sasaran B40 dan belia serta status projek yang tertangguh.
Justeru, beliau menyarankan agar kerajaan negeri mengambil iktibar daripada model perumahan antarabangsa yang berjaya menstabilkan harga pasaran seperti di Singapura, Korea Selatan dan Vietnam.
Katanya, Singapura berjaya memastikan lebih 80 peratus rakyat memiliki rumah menerusi kawalan harga berasaskan kos sebenar oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), manakala Korea Selatan menetapkan ‘siling harga’ bagi rumah baharu di bandar.
”Vietnam pula menyediakan pinjaman kadar rendah dan memperluas stok rumah kos rendah melalui dana negara dengan pendekatan bahawa rumah rakyat ialah instrumen sosial, bukan komoditi spekulatif,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menggariskan beberapa cadangan dasar untuk dilaksanakan di Selangor termasuk mengembalikan PKNS sebagai pemaju utama rumah rakyat dan bukannya pesaing pasaran kondominium mewah.
Beliau turut mencadangkan penetapan sasaran ‘1 Isi Rumah : 1 Rumah Selangor’ menjelang 2030 serta mewajibkan audit pelaksanaan bagi setiap projek perumahan untuk memastikan ketelusan.
”Selangor perlu mengehadkan lambakan projek mewah serta memperkukuh kuota rumah mampu milik.
”Rakyat Selangor tidak meminta kemewahan. Mereka hanya menuntut sesuatu yang wajar iaitu sebuah rumah yang boleh dimiliki dengan pendapatan yang mereka perolehi.
”Jika negara lain mampu membina ekosistem perumahan yang stabil dan adil, Selangor juga mampu dengan syarat dasar mesti berpaksi kepada rakyat dan kerajaan negeri berani melaksanakan reformasi sebenar,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2025











