RS-1 belum capai matlamat walau sudah hujung 2025

- Advertisement -

​SHAH ALAM: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dilihat masih belum mencapai matlamat yang diharapkan walaupun tempoh pelaksanaannya kini sudah berada di penghujung tahun 2025.

- Advertisement -

​Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Sijangkang) berkata, kerencatan ini dapat dilihat melalui projek Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) yang sehingga kini kebanyakannya masih di peringkat kebenaran merancang.

​Menurut beliau, daripada sembilan projek di kawasan seluas 13,000 hektar yang telah diluluskan Kerajaan Negeri, sebahagian besarnya masih belum diterjemahkan kepada pembangunan fizikal.

“Kita masih lagi berada di dalam fasa kebenaran merancang daripada sembilan projek yang telah diluluskan.

​”Begitu juga dengan Sabak Bernam Development Area (SABDA). Dulu dijanjikan projek ikan tuna, ‘dah terasa di tekak’, rupanya tak dapat sebab seleranya ‘pecel lele’. Projek tersebut akhirnya dibatalkan dan diganti dengan akuakultur,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2026 pada Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Ahmad Yunus turut melahirkan kebimbangan mengenai Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang sepatutnya dibentangkan pada tahun ini, namun sehingga kini masih belum dilaksanakan.

​Tegasnya, belanjawan tahunan negeri sepatutnya bergerak seiring dengan landasan rancangan pembangunan lima tahun negeri agar setiap perbelanjaan mencapai objektif jangka panjang.

“Saya khuatir program atau projek yang kita lakukan ini tidak selari jika RS-2 lambat dibentangkan. Kita perlu pastikan belanjawan tahunan menjadi pelengkap (compliment) kepada perancangan induk negeri,” ujarnya lagi.

​Menyentuh isu ekonomi, Ahmad Yunus menggesa Kerajaan Negeri mempercepatkan proses pemutihan kilang tanpa kebenaran yang kini mencecah 4,170 premis setakat Mei 2025.

Tambah beliau, jika 365 permohonan yang diluluskan sebelum ini mampu menyumbang RM194 juta kepada hasil negeri, jumlah ribuan kilang yang belum diputihkan ini berpotensi memberikan pulangan hasil yang besar kepada kerajaan.

​“Kita harap insentif diskaun 30 peratus sehingga 2027 dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana kilang-kilang ini sudah beroperasi sekian lama dan menjana keuntungan besar, tetapi tidak memberi pulangan sepatutnya kepada kerajaan,” katanya.

​Dalam pada itu, beliau turut menyentuh keperluan mendesak pembinaan Sekolah Rendah Agama (SRA) di Bandar Saujana Putra serta mencadangkan agar model Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) diperluaskan.

​”Model SRAI yang menggabungkan sesi persekolahan pagi dan petang amat membantu ibu bapa yang bekerja, sekali gus mengurangkan kos pengangkutan anak-anak,” jelasnya.

​Beliau turut membangkitkan isu infrastruktur yang kritikal, termasuk keadaan jalan ke Pusat Pelupusan Sampah Tanjung 12, Kuala Langat yang rosak teruk dan berulang kali menyusahkan operator pembersihan, serta kelewatan penggantian paip di Sijangkang yang masih belum bermula walaupun taklimat telah dibuat pada Mei lalu. – HARAKAHDAILY 20/11/2025

- Advertisement -