
SHANGHAI, China: Kerajaan Negeri Perlis terus melangkah ke hadapan apabila delegasinya mengadakan lawatan balas ke State Power Industries Corporation (SPIC) dan State Nuclear Power Technologies Corporation (SNPTC) di Shanghai, China dalam agenda tenaga hijau dan pembangunan ekonomi strategik.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, lawatan tersebut diadakan bersempena kunjungan kerja beliau ke Pameran MIHAS@Shanghai 2025, sebagai tindakan susulan terhadap jemputan rasmi SPIC dan SNPTC selepas lawatan mereka ke Perlis pada 9 September 2025.
Lawatan dimulakan dengan sesi mesyuarat dan pembentangan operasi korporat SPIC, diikuti pembentangan prospek pelaburan di Negeri Perlis oleh Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN).
Delegasi Perlis turut disertai Pengarah Jabatan Pelaburan Industri, Alsyukri Hamzah, Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA), dan disambut oleh barisan kepimpinan kedua-dua syarikat gergasi tenaga itu yang diketuai Naib Presiden SNPTC, Ma Mingjun, serta Pengerusi ZKNES, Yang Jingyu.
Delegasi kemudiannya dibawa melawat Kompleks Reaktor Nuklear kendalian SPIC dan SNPTC, yang mempamerkan teknologi penjanaan tenaga nuklear bagi memenuhi permintaan tenaga China yang semakin meningkat.
Menurut Mohd Shukri, pihak SPIC dan SNPTC menyatakan minat yang tinggi untuk meneroka pelaburan di Perlis, khususnya dalam sektor tenaga hijau (green energy) yang berpotensi digunakan atau dieksport melalui jaringan grid tenaga ASEAN.
“Saya turut menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk meneliti potensi penggunaan teknologi nuklear bagi penjanaan tenaga hijau di Perlis, termasuk peluang pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti tempatan serta penyediaan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat negeri ini,” katanya di sini, baru-baru ini.
SPIC yang ditubuhkan pada Julai 2015 oleh Kerajaan China kini memiliki aset melebihi USD159 bilion dengan lebih 130,000 pekerja, meliputi operasi tenaga hidro, terma, nuklear, angin, solar serta sektor elektrik, arang batu, aluminium, logistik dan kewangan.

SNPTC pula berperanan sebagai cabang penyelidikan dan pembangunan SPIC, khusus dalam teknologi nuklear serta pemindahan teknologi reka bentuk loji nuklear, dengan jumlah aset melebihi USD15 bilion.
Mohd Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang berkata, lawatan ini menandakan satu lagi langkah penting Perlis dalam meneroka sumber tenaga baharu, berskala besar dan berimpak tinggi, seiring visi negeri menuju masa depan pembangunan yang lebih mampan dan berpaksikan teknologi. – HARAKAHDAILY 20/11/2025




















