Syiar Islam terancam: Masjid, Institusi Diraja dipertikai

Perpecahan umat buka ruang pihak lain tentu hala tuju negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menegaskan bahawa kedudukan dan syiar Islam di negara ini sedang berdepan dengan ancaman tersirat yang menuntut umatnya kembali memperkukuh perpaduan, menyusun strategi secara bijaksana dan menolak fahaman sekular yang mengasingkan urusan agama daripada pemerintahan negara.

Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah berkata, dakwaan kononnya Islam tidak pernah terancam di Malaysia adalah meleset, terutama selepas melihat beberapa insiden mutakhir ini yang secara terang-terangan mencabar institusi dan syiar Islam dalam ruang awam.

Beliau menarik perhatian mengenai bantahan seorang pemimpin veteran DAP berhubung cadangan pembinaan sebuah masjid di Bukit Bintang baru-baru ini sebagai bukti nyata betapa rasa hormat terhadap Islam semakin terhakis, selain mengecam tindakan segelintir umat Islam yang sanggup bersekongkol mempertahankan tindakan tersebut.

“Ada pihak yang sering mendakwa Islam di negara ini tidak pernah terancam. Walhal, bantahan terhadap cadangan pembinaan sebuah masjid di Bukit Bintang baru-baru ini oleh seorang veteran DAP mengundang persoalan tentang sejauh mana syiar Islam benar-benar dihormati dalam ruang awam.

“Lebih mendukacitakan apabila terdapat juga segelintir orang Islam yang sanggup mempertahankan tindakan tersebut dan berdiri bersama pihak yang dilihat melemahkan kedudukan umat.

“Sejarah membuktikan bahawa Islam yang paling digeruni ialah Islam yang mengatur kehidupan secara menyeluruh, merangkumi akidah, ibadah, akhlak, pemerintahan, keadilan dan pentadbiran.

“Islam tidak datang hanya mengajar hubungan manusia dengan Allah, bahkan membimbing bagaimana masyarakat dan negara ditadbir dengan amanah dan keadilan.

“Atas sebab itulah usaha melemahkan kefahaman politik umat sentiasa berlaku dalam pelbagai bentuk,” katanya yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Kenyataan tegas Mohd Amar ini merujuk kepada polemik berhubung bantahan terbuka yang disuarakan oleh seorang pemimpin veteran DAP terhadap pelan cadangan pembinaan sebuah institusi masjid baharu di kawasan segi tiga emas Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Bantahan tersebut mencetuskan reaksi berantai dalam landskap politik dan sosial negara, di mana beberapa NGO Islam mendakwa tindakan itu sebagai tidak sensitif terhadap keperluan komuniti Islam bandar.

Isu ini bertambah parah apabila terdapat segelintir penganalisis dan figura beragama Islam mempertahankan hujah veteran DAP itu atas dasar komersial dan nilai hartanah tanah bandar, seterusnya mengundang kritikan hebat daripada blok parti pembangkang.

Kesal titah Institusi Raja dijadikan polemik

Mohd Amar turut menzahirkan rasa bimbang dengan trend semasa yang memperlihatkan titah pandangan Institusi Diraja selaku Ketua Agama Islam kini tidak lagi dihormati sepenuhnya, malah sengaja diheret ke dalam kancah polemik politik.

“Titah dan pandangan Institusi Raja yang menjadi payung kepada agama Islam di negara ini turut dijadikan bahan polemik dan dipandang ringan. Apabila rasa hormat terhadap institusi yang memayungi agama semakin terhakis, masyarakat wajar bertanya ke arah manakah kita sedang dibawa,” ujarnya.

Mengulas mengenai persiapan membina tamadun, beliau menyeru agar gerak kerja politik dan perjuangan umat Islam diatur dengan pengurusan organisasi yang cekap berasaskan sifat kebijaksanaan (fatanah) seperti yang ditunjukkan melalui sirah Hijrah Rasulullah SAW.

“Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW menjadi bukti bahawa kejayaan tidak datang hanya dengan semangat dan tawakal. Baginda menyusun strategi dengan penuh teliti.

“Laluan perjalanan dipilih, masa keluar dirancang, tempat persembunyian ditentukan, penunjuk jalan digunakan dan setiap risiko dinilai lebih awal, walaupun Baginda ialah seorang nabi yang dijamin pertolongan Allah.

“Inilah sifat fatanah yang menjadi asas kepimpinan Islam, iaitu kebijaksanaan merancang, mengurus dan menyusun setiap langkah. Perjuangan tidak boleh digerakkan secara sambil lewa.

“Membina sebuah pemerintahan yang baik memerlukan perancangan yang rapi, strategi yang jelas, pengurusan yang cekap dan disiplin organisasi yang kukuh. Tanpa semua itu, perjuangan mudah rebah sebelum sampai ke matlamatnya.

“Ungkapan bahawa kebenaran yang tidak tersusun boleh ditewaskan oleh kebatilan yang tersusun, mengandungi pengajaran yang besar. Kebenaran memerlukan penyusunan, manakala kelemahan sering berpunca daripada perpecahan dan kegagalan mengurus kekuatan yang dimiliki,” ulas beliau.

Perpecahan umat senjata strategi ‘Pecah dan Perintah’

Sambil mengingatkan umat Islam mengenai bahaya strategi ‘pecah dan perintah’ yang sering digunakan oleh musuh, beliau menegaskan bahawa ketiadaan kesatuan merupakan punca utama mengapa umat Islam hari ini kelihatan lemah di tanah air sendiri.

Kelemahan ini diburukkan lagi dengan doktrin berfikir yang mengecilkan skop agama kepada ritual ibadat semata-mata tanpa mempedulikan urusan pentadbiran dan hala tuju negara.

“Sejarah politik dunia turut memperlihatkan bagaimana strategi ‘pecah dan perintah’ digunakan untuk melemahkan sesuatu bangsa atau kelompok. Apabila umat Islam bertelagah sesama sendiri, musuh tidak perlu bekerja terlalu keras kerana perpecahan itu sendiri sudah melemahkan kekuatan umat.

“Keadaan inilah yang menyebabkan Islam sering dilihat lemah, bukan kerana ajarannya lemah, tetapi kerana umatnya gagal mempertahankan kesatuan. Perpaduan ialah benteng kekuatan umat Islam.

“Umat menjadi lemah apabila dibelenggu kejahilan, manakala golongan berilmu pula gagal memimpin dengan hikmah, keberanian dan kebijaksanaan.

“Lebih membimbangkan apabila lahir fahaman bahawa memadai seseorang itu solat, berpuasa, boleh mengaji dan menunaikan haji, sedangkan urusan pemerintahan serta hala tuju negara dianggap tidak penting.

“Cara berfikir seperti inilah yang akhirnya membuka ruang kepada pihak lain menentukan masa depan umat Islam,” bidasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor.

Beliau mengajak seluruh umat merenung kembali sejarah penetapan kalendar Islam pada zaman Khalifah Saidina Umar al-Khattab RA yang memilih momentum Hijrah sebagai simbol peralihan kuasa daripada fasa penindasan kepada kegemilangan sesebuah tamadun dunia.

“Tahun baharu Hijrah mengajak kita kembali menghayati makna sebenar penghijrahan. Kalendar Hijrah yang diperkenalkan pada zaman Saidina Umar al Khattab RA dipilih berasaskan peristiwa Hijrah Rasulullah SAW kerana peristiwa itulah titik perubahan yang mengangkat Islam daripada tekanan kepada pembinaan sebuah tamadun yang memimpin dunia.

“Semoga kedatangan tahun baharu Hijrah menjadi medan muhasabah buat seluruh umat Islam. Marilah kita memperkukuhkan perpaduan, mempertahankan agama dengan ilmu, hikmah dan akhlak yang mulia, serta membina masa depan umat melalui perancangan yang tersusun, amanah yang tinggi dan kesungguhan dalam berusaha,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/6/2026

- Advertisement -
- Advertisement -