
KOTA BHARU: PAS akan memutuskan pendirian berhubung sokongan kepada BERSATU serta beberapa perkara berkaitan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang dijadual berlangsung esok.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setakat ini parti itu belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung perkara berkenaan.
“Setakat ini kita akan berpegang kepada kenyataan yang telah dikeluarkan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum ini,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kota Bharu di Dewan Jubli Perak, malam tadi.
Tambahnya, keputusan berhubung perkara itu hanya akan dimuktamadkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang dijangka berlangsung esok.
“Keputusan rasmi hanya akan dibuat selepas mesyuarat tersebut diadakan,” katanya.
Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kota Bharu itu dirasmikan Ahli Parlimen Jerantut, Ir Khairil Nizam Khirudin.
Mengulas peluang parti-parti yang bakal bertanding pada PRN Johor dan pilihan raya negeri yang akan datang, Takiyuddin berkata semua parti mempunyai peluang yang sama untuk meraih sokongan pengundi.
“Ini adalah pilihan raya negeri. Semua parti ada peluang. Kita bukan parti baharu, kita sudah melalui PRU15 dan PRN 2022 bersama PERIKATAN NASIONAL (PN),” katanya.
Sementara itu, beliau berkata PAS juga telah membuat persiapan awal bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan dan yakin dengan kekuatan jentera parti di negeri berkenaan.
Katanya, PAS mempunyai lebih banyak kerusi berbanding BERSATU di Negeri Sembilan, sekali gus membolehkan persiapan dilakukan dengan lebih rapi.
“Di Negeri Sembilan kita ada lebih banyak kerusi daripada parti komponen lain iaitu BERSATU. Kita ada tiga kerusi, mereka ada dua, jadi persiapan kita lebih rapi,” katanya.
Sambungnya lagi, pengalaman bertanding bersama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 dan PRN 2022 menjadi kelebihan kepada parti-parti dalam PN untuk berdepan cabaran pilihan raya akan datang. – HARAKAHDAILY 28/6/2026














