
KOTA BHARU: PERIKATAN NASIONAL (PN) akan tampil dengan beberapa tawaran menarik dan kejutan dalam manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung PN, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, manifesto yang sedang dimuktamadkan itu dikendalikan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pilihan Raya PN dan akan memberi fokus kepada keperluan serta aspirasi rakyat Johor.
Menurut beliau, pelbagai tawaran menarik disenaraikan bagi menarik sokongan pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka pada 11 Julai depan.
“Saya tidak bertanggungjawab secara langsung dalam penyediaan manifesto itu kerana urusan berkenaan dikendalikan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pilihan Raya parti.
“Manifesto akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Ada kejutan,” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kota Bharu di Dewan Jubli Perak, di sini malam tadi.
PRN Johor kali ini menyaksikan sebanyak 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.
Daripada jumlah itu, 14 kerusi menyaksikan pertandingan satu lawan satu, 27 kerusi melibatkan saingan tiga penjuru, manakala 12 kerusi lagi menyaksikan pertembungan empat penjuru dan tiga kawasan selebihnya pula menyaksikan pertandingan lima penjuru.
PAS mempertaruhkan 11 calon pada PRN Johor kali ini, manakala BERSATU meletakkan 16 calon yang semuanya bertanding menggunakan lambang PERIKATAN NASIONAL.
Berdasarkan senarai calon selepas proses penamaan calon, PAS meletakkan Saifullah Abdul Wahab di DUN Jementah dan turut bertanding ialah Normala Sudirman di DUN Tenang, Arshed Yahya @ Awang (Simpang Jeram), Mohamad Anuar Hayan (Maharani), Muhammad Amin Sailan (Sungai Balang), Halim Kepol (Semerah) dan Ahmad Rosdi Bahari (Sri Medan).
Selain itu, PAS turut mempertaruhkan Mazlan Bujang di DUN Kahang, Hasnul Hakimi Hussien (Endau), Yuhanita Yunan (Pasir Raja) dan Khirul Muntanazar Ismail di DUN Tiram. – HARAKAHDAILY 28/6/2026















