‘Growth mindset’ atau pandai tuntut kredit projek orang?

Dr Azman jawab tuduhan Rafizi Ramli

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri membidas kenyataan mantan Menteri Ekonomi yang menuduh PAS tidak mempunyai ‘growth mindset’ serta hanya tahu berfikiran mangsa (victimology).

- Advertisement -

Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli tidak memberi sebarang sumbangan kepada Terengganu sepanjang berada dalam kerajaan, sebaliknya menuntut kredit atas projek yang telah lama dijalankan kerajaan negeri.

“Tak ada apa pun yang mampu dia sumbang kepada Terengganu sepanjang tempoh jadi Menteri. Hanya ‘claim’ projek tanaman ubi keledek di Kampung Banggol Setiu yang telah dimulakan oleh kerajaan negeri bersama TADC sejak 2021 sebagai Projek IPR-Intan Kementerian Ekonomi pada 2024.

“Dengan bangganya diisytiharkan, inilah projek tanaman ubi keledek terbesar di Terengganu! ‘Modified’ projek orang kemudian ‘claim credit’, itukah yang dimaksudkan dengan ‘growth mindset’ oleh mantan Menteri Ekonomi?” sindir beliau.

Mengulas lanjut, Azman berkata, Terengganu kini berada di landasan tepat dengan pelbagai inisiatif pertanian yang berjaya meningkatkan sumbangan sektor itu kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.

Menurut beliau, prestasi KDNK pertanian Terengganu melonjak daripada -2.5 peratus pada 2018 kepada enam peratus pada 2019, dan terus meningkat kepada 7.5 peratus pada 2023, menjadikannya sektor dengan pertumbuhan tertinggi di negeri itu.

Katanya, walaupun masih rendah dari sasaran untuk menyumbang 12 peratus kepada KDNK negeri, tetapi graf peningkatan menunjukkan unjuran positif setiap tahun, ia suatu indikator bahawa Terengganu kini berada di atas landasan yang betul.

“Jadi saya tak berminat nak bermain dengan istilah ‘growth mindset’, tapi dengan apa yang telah dan sedang kita buat, saya tak gentar dengan masa depan,” katanya.

Katanya, antara pencapaian utama yang disenaraikan termasuk penubuhan Hab Pengembangan dan Pemprosesan Cendawan Kampung Tempinis Besut yang pertama seumpamanya di Malaysia dengan kerjasama MOSTI, serta Makmal Kualiti Madu Pantai Timur bersama UMT.

Kerajaan negeri juga berjaya memulihkan sawah padi terbiar lebih 1,000 ekar di Besut, membina pelbagai kemudahan nelayan seperti ‘slipway’, jeti dan ‘cool room’, serta memulihkan projek ladang dan ternakan yang terbengkalai sejak 2015, termasuk Ladang Rimbunan Kaseh Rantau Abang dan Reban Ayam Baruh Masin Hulu Besut.

Selain itu, projek-projek mega pertanian yang sedang berjalan bagi tahun 2025 turut membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap keterjaminan makanan, antaranya projek KETARA Fasa 2 bernilai RM103 juta bagi meningkatkan pengairan di kawasan sawah Besut.

“Naik taraf TKPM di empat lokasi utama dengan peruntukan RM2.18 juta. Projek tukun penghalang pukat tunda bernilai RM2.9 juta di perairan seluruh negeri. Projek pembenihan ikan marin di Setiu bernilai RM7 juta dengan kerjasama pelabur tempatan dan kepakaran China.

“Projek pertanian berkelompok rakyat dengan dana RM3 juta, serta penambahan baka lembu dan kambing bernilai RM3.6 juta bagi memperkukuh sektor penternakan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, lebih 90 peratus tanah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) kini telah dipulihkan dan dimajukan semula, selain pelaksanaan program pemuliharaan penyu dan perlepasan benih ikan ke perairan awam setiap tahun.

Katanya, memartabatkan pertanian dari suatu sektor yang tidak dipandang sebelah mata kepada sektor yang menjadi penyumbang utama kepada peningkatan KDNK Negeri Terengganu, bukanlah kerja boleh dituai hasil dalam masa sehari dua.

“Mantan Menteri Ekonomi boleh panggil saya apa saja YB sengih dari Jabi pun tak apa. Sebab saya banyak kerja nak buat. Dia tak ada kerja,” selorohnya. – HARAKAHDAILY 27/10/2025

- Advertisement -