
KUALA NERUS: Karnival Himpunan Belia Terengganu (HEBAT) 2.0 diharap dapat menjadi platform penting dalam membina jati diri anak muda agar terus menyumbang kepada masyarakat, agama dan negara.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, golongan belia yang ingin dilahirkan bukan sahaja berperanan sebagai pelapis kepimpinan negara masa depan, bahkan juga generasi penerus perjuangan ummah.
“Saya mengharapkan penganjuran HEBAT 2.0 ini akan menjadi salah satu platform dalam membina jati diri anak muda di negeri Terengganu khususnya dan anak muda di seluruh negara serta anak muda Islam di seluruh dunia agar terus menyumbang kepada masyarakat, agama dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Himpunan Palestin: Bahu Untuk Gaza, HEBAT 2.0, di sini malam kelmarin.
Turut hadir Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim.
Ahmad Samsuri berkata, majlis solidariti itu juga bukan sahaja memperlihatkan semangat kebersamaan rakyat Malaysia terhadap penderitaan rakyat Gaza, malah menjadi manifestasi cinta kepada Palestin dan tanda kesyukuran rakyat Malaysia yang masih berpeluang membantu saudara seagama.
“Marilah kita jadikan malam ini sebagai manifestasi cinta kita kepada Palestin dan tanda kesyukuran kita sebagai rakyat yang masih lagi dapat bergerak dan mencari jalan untuk membantu saudara-saudara kita.
“Kita berdoa kepada Allah SWT semoga Allah memelihara saudara kita di bumi Gaza, terus memberikan kekuatan kepada mereka, mengurniakan kemenangan yang bukan sahaja kemenangan kepada mereka tetapi kemenangan kepada seluruh umat Islam.
“Juga memberi kekuatan kepada kita untuk terus menjadi bahu yang menyokong perjuangan mereka kerana perjuangan itu bukan mereka sahaja bahkan merupakan perjuangan kita juga yang wajib setiap di antara kita memainkan peranan dan terlibat untuk meneruskan perjuangan ini,” katanya.
Menurutnya, perkara berlaku di bumi Gaza merupakan satu tragedi besar dalam sejarah kemanusiaan yang memerlukan semua pihak memainkan peranan masing-masing tanpa mengira agama, bangsa atau negara.
“Berdepan dengan suasana yang begini, setiap di antara kita yang menjadi manusia, kita ni manusia sudah tentu mempunyai peranan masing-masing untuk memastikan saudara kita yang berdepan dengan kezaliman, pengusiran dan pembunuhan setiap waktu.
“Agar mereka dapat dibantu semampu mungkin oleh kita semua tanpa mengira dari negara mana kita datang, tanpa mengira kaum dan agama kita,” katanya.
Beliau turut menyeru agar semangat solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin diterjemahkan dalam tindakan berterusan dan kesatuan ummah.
“Malam ini, dengan doa yang berterusan, dengan kefahaman yang jitu, dengan semangat yang kukuh, marilah sama-sama kita bersolidariti dan kesatuan serta tindakan yang berkesan, marilah sama-sama kita realisasikan Bahu Untuk Gaza,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/10/2025











