
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan RM2.9 juta bagi melaksanakan moratorium bayaran balik pinjaman di bawah Skim Pinjaman Modal Tani (SPMT) sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan golongan petani, penternak dan nelayan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Induk SPMT Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kesukaran yang sedang dihadapi warga tani susulan krisis global yang sedang melanda dunia sekarang.
Menurut beliau, mesyuarat Jawatankuasa Induk SPMT bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman sehingga 12 bulan bermula Mei 2026 kepada semua peminjam skim berkenaan.
“Kerajaan Negeri prihatin dengan kesukaran yang sedang dihadapi oleh warga tani, penternak dan nelayan Negeri Terengganu dalam situasi krisis global yang sedang melanda dunia sekarang.
“Sehubungan dengan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Skim Pinjaman Modal Tani Kerajaan Negeri Terengganu telah memutuskan untuk memberikan moratorium,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri menyatakan bahawa pemberian moratorium ini akan melibatkan tanggungan kewangan sebanyak kira-kira RM2.9 juta di pihak kerajaan negeri.
“Semua peminjam SPMT akan dihubungi oleh urus setia skim itu dalam masa terdekat bagi urusan lanjut berkaitan pelaksanaan moratorium berkenaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2026




















