Kerajaan Madani jadi talian hayat untuk Amerika

Perjanjian Perdagangan Amerika Syarikat-Malaysia

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ke Malaysia baru-baru ini mengesahkan lagi ramalan pakar geopolitik dunia bahawa negara kuasa besar itu sedang berdepan kemerosotan pengaruh di peringkat global.

- Advertisement -

Beliau berkata, AS kini berhadapan dengan krisis ekonomi yang semakin parah selain peperangan dagangan yang dilancarkan Trump terhadap pelbagai negara, khususnya China, di mana kini hampir memintas AS sebagai kuasa ekonomi dan teknologi utama dunia.

“Jenayah perang yang dilakukan menjadi sebab utama hegemoni AS berada di ambang pengakhiran,” katanya Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat itu dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Khalil, antara agenda utama lawatan Trump ke Malaysia adalah memeterai perjanjian perdagangan dan pelaburan, termasuk dalam sektor unsur nadir bumi (REE) yang kini menjadi tumpuan global.

Katanya, AS amat memerlukan pelaburan baharu berikutan krisis kewangan, kadar hutang tinggi serta inflasi yang menekan ekonomi negara itu dan dalam masa sama, sekatan eksport REE oleh China turut memberi kesan besar kepada industri teknologi dan ketenteraan AS.

“Umum diketahui, Malaysia telah memeterai perjanjian perdagangan dan pelaburan REE dengan AS ketika kehadiran Donald Trump di Kuala Lumpur.

“Namun adakah perjanjian tersebut menguntungkan negara dan adil atau hanya menguntungkan AS yang sedang cuba menyelamatkan ekonominya?” soalnya.

Beliau berkata, tiada salahnya Malaysia menjalin kerjasama dagang dengan mana-mana negara termasuk AS, namun perjanjian itu mesti bersifat adil, saksama dan memberi manfaat kepada negara.

“Namun jika ia merugikan negara dan mengeksploitasi hasil bumi negara, adalah amat wajar ia dikaji dengan teliti terlebih dahulu atau pun ditolak,” katanya.

Khalil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri berkata, setiap usaha untuk memperkukuh ekonomi dan mempelbagaikan sumber hasil negara perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab, berpaksikan ketelusan dan kepentingan rakyat.

“Perjanjian yang adil dan saksama mencerminkan kedaulatan serta integriti negara di mata dunia. Namun (bagaimana) jika dilakukan tanpa kewajaran yang telus serta untuk mencari publisiti dan populariti tanpa mengambil kira dapatan yang diperolehi baik dari ekonomi dan pulangan?

“Ia sebenarnya melambangkan kegagalan dan kerapuhan yang pasti. Bak kata pepatah menang sorak kampung tergadai,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2025

- Advertisement -