
KUALA LUMPUR: Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penstrukturan semula kedudukan undang-undang Syariah di Malaysia melalui penubuhan Peguam Negara Syariah dan Pendakwa Raya Syariah Negara.
Menurut beliau, langkah ini boleh dijadikan model atau modul kepada negeri-negeri dalam usaha memperkukuh dan memartabatkan imej serta keadilan sistem perundangan Syariah negara.
“Reformasi ini perlu dilaksanakan agar selari dengan sistem dwi-undang-undang yang diamalkan di Malaysia serta memperkukuh bidang kuasa Perlembagaan Persekutuan dan juga negeri-negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengajukan soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini, susulan soalan asal yang dikemukakan Lim Lip Eng (PH-Kepong).
Lim dalam soalannya meminta Perdana Menteri menjelaskan model perbandingan yang dirujuk kerajaan bagi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta sama ada pelantikan Peguam Negara akan melalui Jawatankuasa Pilihan Khas berkaitan kementerian.
Cadangan tersebut disifatkan sebagai satu langkah ke arah reformasi sistem perundangan negara yang lebih seimbang, di mana Syariah tidak sekadar menjadi pelengkap tetapi turut diberi kedudukan institusi tersendiri dalam struktur pentadbiran keadilan nasional.
Ia merupakan satu usaha penting dalam memperkukuh sistem perundangan Islam di Malaysia.
Ketika ini, bidang kuasa Mahkamah Syariah tertakluk di bawah Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, dengan had hukuman maksimum sebagaimana ditetapkan oleh Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), iaitu denda tidak melebihi RM5,000, penjara tidak melebihi tiga tahun dan enam kali sebatan.
Batasan ini sering dianggap tidak mencerminkan kekuatan sistem keadilan Syariah dan memerlukan pengukuhan institusi di peringkat persekutuan bagi memastikan keadilan Islam lebih berwibawa. – HARAKAHDAILY 29/10/2025











