
KUALA LUMPUR: Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) menzahirkan dukacita terhadap tindakan kerajaan menyerahkan kekayaan dan kepentingan ekonomi negara kepada Amerika Syarikat (AS) susulan lawatan Presiden Donald Trump ke Malaysia selama dua hari baru-baru ini.
Beliau berkata, meskipun Sidang Kemuncak ASEAN yang diadakan di Kuala Lumpur berjaya menghimpunkan ramai pemimpin dunia, termasuk Presiden AS, namun hasilnya membawa beban besar apabila kerajaan menandatangani perjanjian yang melibatkan konsesi bernilai RM1 trilion kepada negara itu
“Betullah kita memang ada sopan santun, berbudi bahasa. Tetapi tanpa sebutir bom, tanpa senapang, tanpa apa-apa, Trump turun ke bawah ini, kita menyerahkan ekonomi kita, menyerahkan kekayaan negara kita RM1 trilion.
“Sedangkan setiap tahun kita berhempas pulas Lembaga Hasil Dalam Negeri kena kutip, Kastam kena kutip semuanya nanti kita bagi kepada Amerika,” ujarnya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Parlimen di sini semalam.
Menurut beliau, walaupun Amerika menurunkan tarif daripada 24 peratus kepada 19 peratus, Malaysia tetap memberi konsesi besar kepada negara itu termasuk pembelian berpuluh bilion pesawat Boeing.
“Sedangkan apa faedah yang kita dapat kononnya tarif kita diturunkan. Amerika mengatakan mengenakan tarif kita 24 peratus. Jadi apabila kita berunding dia kata turunkan 19 peratus. 5 peratus diturunkan. Kita rasa gembira.
“Yang tentukan 24 peratus Amerika, yang turunkan 19 peratus itu Amerika juga. Tetapi kita bagi konsesi yang begitu banyak kepada negara ini. Kita akan beli berpuluh bilion, berpuluh buah Boeing dari Amerika. Apa ni?” tempelaknya.
Dalam sesi sama, beliau turut menjawab pertanyaan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang meminta penjelasan berhubung syarat perjanjian antara Malaysia dan AS melibatkan PETRONAS yang turut perlu dibahaskan di Dewan Rakyat.
Menjelas lanjut, Hassan berkata PETRONAS kini tertakluk kepada syarat perjanjian yang memaksa syarikat itu membeli gas asli cecair (LNG) daripada AS setiap tahun bernilai USD3.4 bilion.
“Amerika mengenakan syarat PETRONAS kena beli LNG daripada Amerika setiap tahun sebanyak 3.4 bilion US. Bukan Ringgit. Ini satu penyerahan. Ini kata negara kita merdeka berdaulat? Bagaimana ni Yang Amat Berhormat Tambun? Apa sudah jadi kepada ini?” kesalnya.
Sedangkan menurutnya isu tuntutan royalti petroleum antara PETRONAS dengan negeri pengeluar minyak seperti Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak masih gagal diselesaikan.
“PETRONAS bergaduh dengan setengah negeri tak bayar royalti pada Kelantan, tak bayar royalti kepada Terengganu, mungkir pada Sabah, mungkir pada Sarawak. Kita bergaduh sama sendiri tapi berbilion kita bagi pada Amerika. Saya tidak bersetuju,” tempelaknya.
Beliau menegaskan, perjanjian tersebut bukan sahaja melemahkan kedudukan ekonomi negara tetapi juga memalukan Malaysia di mata dunia kerana tunduk kepada kehendak kuasa besar yang sama menzalimi umat Islam di Palestin.
“Beratus tahun negara kita mempertahankan, melawan Belanda, Portugis, Inggeris. Kita merdeka. Tapi hari ini Trump datang yang menjahanamkan Gaza bumi Palestin, kita sambut mereka dan kita serahkan kekayaan kita.
“Ini pemunggahan harta negara miskin Malaysia ke Amerika. Ini tidak boleh. Saya kritik. Saya tak tahu apa jadi pada saya selepas ini. Tapi saya tidak bersetuju bagaimana ada syarat (itu),” tegasnya.
Hassan menegaskan, syarat Amerika yang turut menetapkan penjualan nadir bumi Malaysia hanya kepada AS adalah bentuk penggadaian yang perlu dijelaskan oleh kerajaan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Amerika kenakan (syarat) bahawa ikut perjanjian kita mesti jual nadir bumi kita ke Amerika, tiada siapa boleh menghalang. Mana boleh dia mengenakan syarat sedemikian? Ini yang perunding-perunding ini, Menteri MITI ni apa yang mereka runding? Ini penggadaian negara kita, ini memalukan. Kena jawab di sini (Dewan Rakyat),” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2025











