Belanjawan 2026 ‘gagal’ ringankan beban rakyat

- Advertisement -

IPOH: Belanjawan 2026 dilihat belum mempunyai hala tuju yang kukuh bagi memperkukuh asas ekonomi negara serta meringankan beban kos sara hidup rakyat.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Razman Zakaria berkata, walaupun terdapat beberapa usaha baik seperti bantuan kepada sektor pendidikan dan kesihatan, ia secara keseluruhannya gagal menjawab isu-isu pokok yang dihadapi rakyat.

​Menurutnya, kerajaan masih gagal memperlihatkan strategi jelas dalam mewujudkan sumber pendapatan baharu yang mampan, sebaliknya masih terlalu bergantung kepada hasil tradisional seperti cukai dan petroleum.

​“Saya berpandangan bahawa belanjawan kali ini belum memperlihatkan strategi yang jelas dalam mewujudkan sumber pendapatan baharu yang mampan.

​“Negara masih terlalu bergantung kepada hasil tradisional tanpa perancangan konkrit untuk memperkukuh sektor produktif seperti pertanian moden, industri halal, dan pelancongan domestik,” katanya.

​Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol turut menyuarakan kebimbangan terhadap langkah kerajaan terus bergantung kepada cukai serta pengurangan subsidi ke atas barangan keperluan asas seperti bahan api, elektrik dan makanan.

​“Kesan langsungnya amat dirasai oleh rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya lagi.

​Beliau juga mengulas mengenai pelaksanaan subsidi bersasar di mana disifatkannya perlu ditambah baik agar tiada golongan yang benar-benar layak tercicir daripada menerima bantuan.

​Dalam pada itu, beliau turut menekankan mengenai hutang negara yang kini melebihi RM1.2 trilion, menunjukkan kedudukan fiskal negara berada pada tahap yang perlu dipantau dengan serius.

​“Kerajaan wajar memperkukuh disiplin kewangan dan memastikan setiap perbelanjaan mempunyai impak langsung kepada kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

​Tambah beliau, rakyat kini semakin matang dan menilai setiap dasar kerajaan berdasarkan kesan jangka panjang, bukannya bantuan bersifat sementara.

​Justeru, beliau menyarankan agar Belanjawan 2026 disemak semula agar benar-benar mencerminkan hasrat untuk membina sebuah ekonomi yang inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat. – HARAKAHDAILY 13/10/2025

- Advertisement -