
AYER KEROH: PAS Negeri Melaka menzahirkan rasa dukacita, sedih dan terkejut dengan kejadian rogol dalam kalangan pelajar yang berlaku di kawasan sekolah di Daerah Alor Gajah seperti dilaporkan media.
Ketua Penerangan PAS Melaka, Ahmad Bilal Rahudin berkata, kejadian itu amat menakutkan ibu bapa dan pelajar yang selama ini menaruh keyakinan bahawa kawasan sekolah adalah tempat selamat bagi pelajar.
“Namun, apa yang telah berlaku ini adalah sesuatu yang mengejutkan dan menghilangkan kepercayaan ibu bapa dan pelajar terhadap tahap keselamatan pelajar di dalam kawasan sekolah,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kejadian itu menjadi petanda buruk bahawa bukan sahaja sistem keselamatan sekolah bermasalah, malah menggambarkan kesan daripada kelemahan yang lebih holistik dalam sistem pendidikan negara ketika ini.
“Apabila sesetengah pelajar yang tidak bermoral ini sudah berani melakukan jenayah rogol di dalam kawasan sekolah sendiri membuktikan bahawa banyak yang tidak kena dengan sistem pendidikan kita pada hari ini,” katanya.
Menurutnya, perkara itu terbukti dengan pelbagai kejadian buruk yang berlaku di sekolah kebelakangan ini seperti kes buli hingga menyebabkan kematian, pelajar mati jatuh dalam tangki septik dan kini kejadian rogol pula.
Ahmad Bilal berkata, Menteri dan Kementerian Pendidikan harus bertanggungjawab terhadap semua kejadian itu dan tidak sekadar menzahirkan rasa kecewa semata-mata.
“Kementerian juga harus menyatakan langkah-langkah yang lebih tegas dan cekap dalam mengatasi kejadian-kejadian seperti ini daripada terus berlaku,” desaknya.
Beliau menegaskan, pihak kementerian perlu meneliti masalah lain yang sedang atau mungkin berlaku sebagai langkah proaktif sebelum sesuatu kejadian menimpa dan tidak sekadar bertindak selepas sesuatu tragedi berlaku.
Selain isu buli dan rogol katanya, masalah lain seperti peras ugut, gengsterisme, pergaduhan, seks bebas, penagihan dadah, kunjungan ke pusat hiburan dan pengambilan arak juga perlu diberi perhatian sebelum mencetuskan kes menakutkan seperti ini.
PAS Melaka, tegasnya, turut berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan pelaku menerima hukuman setimpal dengan perbuatan mereka.
“Pihak kami juga menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap agar keadilan dapat ditegakkan dengan segera,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu perlu menjadi titik tolak kepada seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan tidak mengambil mudah soal keselamatan walaupun berada di lokasi yang selama ini dianggap selamat. – HARAKAHDAILY 13/10/2025











