
KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menzahirkan rasa kesal dan dukacita terhadap tahap keselamatan di sekolah-sekolah kerajaan yang dilihat semakin tidak terkawal sehingga menyebabkan siri kematian pelajar.
Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, insiden terbaharu membabitkan kematian seorang murid Tahun Empat di sebuah sekolah di Seremban yang disahkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam kawasan sekolah amat membimbangkan.
Beliau berkata, siasatan terperinci perlu dijalankan segera bagi mengenal pasti sama ada murid terbabit telah meninggal dunia ketika dijumpai di sekolah berkenaan.
Menurutnya, siasatan juga perlu menumpukan kemungkinan kematian pelajar itu berpunca daripada perbuatan jenayah, termasuk membunuh.
“Apa yang menghairankan, difahamkan kes ini hanya diklasifikasikan sebagai kes buli dan disiasat di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan, bukannya satu kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun yang sama,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung PAS itu dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu, PN juga kesal apabila Menteri Pendidikan dilihat tidak mengambil langkah segera dan serius termasuk menubuhkan jawatankuasa siasatan di peringkat kementerian.
Ia jelas beliau, sebaliknya hanya menyatakan bahawa banyak perkara perlu diperhalusi dan ia mengambil masa sebelum dimaklumkan kepada masyarakat umum.
“Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat terutamanya untuk para pelajar, namun kejadian malang yang berlaku saban waktu menunjukkan kegagalan semua pihak berkaitan Kementerian Pendidikan menjamin keselamatan di institusi pendidikan, terutama di peringkat sekolah rendah,” katanya.
Terdahulu media tempatan melaporkan bahawa seorang murid lelaki tahun empat ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas sebuah sekolah di Seremban sebelum disahkan meninggal dunia di pusat perubatan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Rembau bagi menentukan punca kematian dan kes disiasat di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan.
Menteri Pendidikan (KPM), Fadhlina Sidek memaklumkan siasatan diserahkan kepada polis dan KPM kini memberi tumpuan kepada sokongan emosi kepada warga sekolah terlibat. – HARAKAHDAILY 13/10/2025











