
KUALA LUMPUR: Percanggahan tindakan Kerajaan Madani menguruskan isu bekalan dan harga beras tempatan membuktikan komunikasi dan penyusunan strategi yang lemah.
Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wong Chia Zhen berkata, ia menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat akan sejauh mana keseriusan kerajaan dalam mengatasi masalah ini.
Menurut beliau, pengumuman Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal selaku Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) menunjukkan masalah itu.
“Bahawa kerajaan akan menggantikan Beras Putih Tempatan (BPT) dan Beras Putih Import (BPI) dengan beras putih Malaysia Madani sedari awal menunjukkan kejanggalan,” ujarnya.
Beritahu beliau, ia adalah kerana pengumuman tersebut telah melangkaui kementerian berkaitan serta dilihat tidak mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada.
Tambahan pula menurutnya, perancangan asal diumumkan Syed Abu Hussin juga dilihat tidak menyelesaikan masalah sebenar yang melanda pasaran iaitu fenomena ‘kehilangan’ beras tempatan di mana didakwa dimanipulasi kartel beras.
“Hal ini diburukkan lagi dengan kenyataan penjelasan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang ‘terpaksa’ menjernihkan kekeliruan dialami rakyat menerusi pengumuman ini.
“Seterusnya membuktikan komunikasi dan penyusunan strategi yang lemah di pihak kerajaan dalam menguruskan isu ini,” ujar beliau yang juga Ketua Pemuda GERAKAN di dalam satu kenyataan semalam.
Pemuda PN tambah beliau, sekali lagi mengangkat cadangan oleh Ahli-ahli Parlimen PN pada sidang Parlimen yang lalu agar kerajaan mengkaji semula isu harga runcit beras ini secara komprehensif.
Ia katanya, agar situasi menang-menang dapat diwujudkan kepada kumpulan petani dan juga rakyat marhaen khususnya daripada kumpulan B40 dan M40.
“Pemuda PN menegaskan bahawa aspek sekuriti makanan negara khususnya melibatkan beras yang menjadi makanan ruji rakyat adalah perkara penting yang tidak boleh diuruskan secara main-main.
“Justeru, sebarang usaha bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga beras dapat terus dilestarikan, semua pemegang taruh wajar dilibatkan dan diselaraskan dengan sebaiknya.
“Dengan azam politik dan kerjasama semua pihak berasaskan nilai integriti dan amanah, Pemuda PN yakin masalah beras yang dibelenggu kartel beras dapat diselesaikan,” kata Chia Zhen yang juga ADUN Kulim. – HARAKAHDAILY 20/2/2024




















