PN bawa harapan baharu, satukan rakyat – Annuar

Tan Sri Annuar Musa
- Advertisement -

SEPANGGAR: Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Sabah, Tan Sri Annuar Musa berkata, Perikatan Nasional (PN) muncul sebagai parti yang membawa harapan baharu, lahir dari semangat menyatukan rakyat.

- Advertisement -

“Perikatan Nasional muncul sebagai parti yang membawa harapan baharu, lahir dari semangat menyatukan rakyat dan berpegang kepada prinsip Friend to all, enemy to none, dan Karambunai ini simbolik kepada perubahan untuk menjadikan Sabah lebih baik,” ujarnya.

Beliau menyifatkan Karambunai sebagai kawasan yang istimewa dan simbolik dalam konteks politik, pentadbiran serta pembangunan negeri Sabah.

Menurutnya, keistimewaan Karambunai terserlah kerana di kawasan ini terletaknya Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menjadi lambang ilmu, intelektualisme dan kecerdikan rakyat negeri ini.

Katanya, Karambunai turut menjadi pusat pentadbiran negeri apabila Pejabat Ketua Menteri dan beberapa jabatan kerajaan negeri beroperasi di kawasan ini sebagai nadi pemerintahan Sabah.

“Karambunai juga menempatkan Yayasan Sabah yang berperanan besar menghimpunkan dan mengurus khazanah negeri untuk kemajuan serta kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera dan Hari Keluarga Mega PN Karambunai di Padang Taman Sepanggar, semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Hadir sama ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS, N.Balasubramaniam, Timbalan Pengerusi PN Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan dan Setiausaha PAS negeri, Sahar Abdul Majid.

Katanya lagi, di Karambunai juga terletaknya Pangkalan Tentera Laut terbesar di negeri ini yang menjadi simbol kedaulatan dan benteng pertahanan negara.

Menurutnya, Karambunai bukan sahaja pusat ilmu dan pentadbiran, malah menjadi tapak industri yang mendepani arus kemajuan dan pembangunan di Sabah.

Tambahnya, dengan keistimewaan dan peranan strategik yang dimiliki, Karambunai mesti diwakili oleh individu yang berilmu, berintegriti serta berwibawa dalam membela rakyat dan menjaga amanah negeri.

“Maka sebab itu antara nama yang diperakukan pucuk pimpinan ialah Datuk Dr Aliakbar Gulasan, seorang tokoh akademik yang diyakini mempunyai keupayaan dan daya fikir setaraf dengan pimpinan negeri,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/11/2025

- Advertisement -