Pupuk ‘minda baja’ pada bahasa Kebangsaan

- Advertisement -

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika mengumumkan projek pencahayaan bandar ‘I Lite U’ di ibu negara berang dengan soalan daripada wartawan Utusan Malaysia yang bertanyakan penggunaan tema projek tersebut dalam bahasa Inggeris dan bukan bahasa kebangsaan.

- Advertisement -

Beliau mereaksi dengan nada marah, ugutan atau penghinaan terhadap wartawan yang menjalankan tugas suatu tindakan tidak faham perkara asas rukun negara kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan malah perilakunya tidak cocok sebagai menteri di Malaysia.

Malah mengugut wartawan dengan kalimat “awak dari media mana? Saya akan hubungi editor awak” suatu sikap buruk kepada masyarakat dan mencipta suasana takut dalam kalangan pengamal media kerana pengamal media bukan ancaman kepada kerajaan, sebaliknya asas kepada ketelusan dan pentadbiran yang berintegriti.

Sementara Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan dipilih dari pelbagai bahasa kaum yang tinggal di Malaysia kerana populasi penduduk dan Sejarah bangsa dan negara ini. Sejarah silam bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca dan bahasa perdagangan di alam Melayu sejak abad ke-7, iaitu pada zaman kerajaan Srivijaya. Malahan makin berkembang pada era kerajaan Melayu Melaka. Perkembangan mutakhir dilihat penggunaan Bahasa Melayu membanggakan melalui media sosial dapat dicapai oleh pengguna Bahasa Melayu di seluruh dunia.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi negara. Bahasa Melayu menjadi bahasa Kebangsaan di Persekutuan Tanah Melayu sejak kemerdekaan 1957 yang menggantikan bahasa Inggeris 10 tahun kemudian, iaitu tahun 1967. Era kolonial Bahasa Melayu terhad dan perkembangan dinafikan fungsi kebahasaan negara. Kedudukan dan taraf Bahasa Melayu kukuh dan mantap dari segi perlembagaan dan undang-undang tertera seperti yang berikut:

i. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan
ii. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967/1983/1990
iii. Akta Pendidikan (Akta Pelajaran 1961) 1996 (Pindaan)
iv. Laporan Penyata Razak 1956
v. Laporan Penyata Rahman Talib 1960

Sebagai bahasa kebangsaan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan dan bentuk Fasal 152(6) rinci tentang istilah ‘rasmi’ berkait urusan rasmi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Sementara Akta Bahasa 1963/67 yang mengandung 3 seksyen terarah bentuk tulisan, angka dan bahasa dalam borang rasmi dan semua perkara urusan rasmi.

Manakala bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi semua kursus sastera di universiti mulai tahun pertama pengajian bermula 1983. Kemudian, Penyata Razak 1956 tentang pemakaian satu peraturan hanya bahasa kebangsaan untuk semua bangsa sebagai pengantar pendidikan. Malah Penyata Rahman Talib 1960 yang menyetujui syor dalam Penyata Razak tentang menjadikan Bahasa Melayu subjek wajib dalam kurikulum semua sekolah termasuk sekolah vernakular, subjek pengantar kurikulum dan prasyarat memperoleh sijil awam. Selepas tragedi 13 Mei 1969, parlimen meminda Perkara 10 Perlembagaan dengan menjadikan isu bahasa sebagai suatu isu sensitif yang tertakluk kepada Akta Hasutan 1948, iaitu tidak boleh dipersoalkan kecuali tentang pelaksanaan.

Bahasa kebangsaan menjadi kemegahan dan kebanggaan bagi sesebuah negara kerana sikap “minda baja” terhadap bahasa bangsa berkenaan. Ketaatan pada bahasa oleh para nasionalis dan para pejuang kemerdekaan dan pejuang bahas mencerminkan sesebuah negara itu telah merdeka dan berdaulat.

Bahasa kebangsaan adalah lambang bagi jati diri atau identiti bagi sesebuah negara. Sejarah gemilang Bahasa Melayu pernah digunakan di dalam negara Malaya dahulu dalam sektor pentadbiran di pelbagai negara di dunia Melayu, menjadi bahasa dalam hukum kanun, bahasa dalam perniagaan serantau dan lain-lain. Bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca selama beberapa abad pada suatu masa dahulu, iaitu dari daerah Gujerat, India, hingga ke pantai utara Australia, dan dari Campa di Vietnam hingga ke Banten di Jawa Barat.

Selain komuniti bahasa majoriti yang banyak digunakan dan mengetahui bahasa tersebut termasuk Singapura, rakyatnya mengetahui bahasa Melayu antara 70 hingga 80 peratus. Oleh sebab itu pada tahun 1965 bahasa ini diangkat menjadi bahasa kebangsaan dan di Indonesia, 80 peratus daripada penduduknya mengetahui Bahasa Melayu Indonesia selain Brunei dan Malaysia kerana sifat dan dinamika bahasa mempunyai potensi pembinaan dan kemajuan seiring zaman khususnya dari sudut korpus bahasa, iaitu kosa kata, istilah, laras dan nahu yang dinamik dan estetika melalui sifat aglunatif dan integral Bahasa Melayu.

Kesimpulan, Bahasa Kebangsaan bermaksud bahasa urusan kenegaraan dalam pentadbiran negara dan pada dasarnya termasuk urusan diplomatik dengan negara luar disertakan dalam dwibahasa.

DR ZULKEFLEE YAACOB
Psikososio @ Pakar Penasihat Wanita Kelantan – HARAKAHDAILY 2/11/2025

- Advertisement -