REE Malaysia mungkin diguna jadi senjata AS, Israel?

Apa jaminan kerajaan?

- Advertisement -

PAS SELANGOR memandang serius laporan mengenai kandungan Perjanjian Perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat (ART 2025) yang menetapkan Malaysia tidak boleh menghalang eksport ‘critical minerals’ termasuk unsur nadir bumi (REE) ke Amerika Syarikat.

Lebih membimbangkan, perjanjian itu turut mengkehendaki Malaysia bekerjasama dengan syarikat-syarikat Amerika untuk membangunkan sektor ini serta menawarkan terma yang menguntungkan pihak mereka.

Timbul persoalan, apakah jaminan kerajaan Malaysia bahawa REE yang dieksport tidak akan digunakan dalam industri pertahanan dan aeroangkasa Amerika Syarikat, termasuk pembuatan sistem radar, sonar, peluru berpandu, jet pejuang dan kapal perang yang akhirnya digunakan Israel untuk menyerang rakyat Palestin di Gaza dan umat Islam di seluruh dunia?

- Advertisement -

Kita semua maklum bahawa Amerika Syarikat ialah pembekal utama senjata kepada rejim Zionis Israel, merangkumi sekitar 66 peratus daripada jumlah keseluruhan import senjata Israel. Maka, adalah sangat munasabah untuk rakyat Malaysia bertanya, adakah Malaysia kini sedang berisiko menjadi pembekal bahan mentah kepada senjata yang menumpahkan darah umat Islam?

PAS Selangor menuntut penjelasan segera daripada Perdana Menteri (PMX) dan Menteri MITI mengenai perkara berikut:

(1) Apakah mekanisme pemantauan dan kawalan (end-use) terhadap penggunaan REE Malaysia selepas dieksport ke Amerika Syarikat?
(2) Apakah jaminan bahawa bahan mentah ini tidak akan digunakan dalam sebarang sistem senjata yang terlibat dalam konflik ketenteraan terhadap umat Islam?

Kerajaan Madani perlu sedar bahawa isu REE bukan sekadar soal ekonomi, tetapi soal prinsip, kedaulatan dan maruah negara Islam. Malaysia tidak boleh menjadi penyumbang secara tidak langsung kepada penindasan umat Islam di Palestin.

PAS Selangor turut mendesak agar kerajaan mengadakan satu sesi khas Parlimen untuk membahaskan Perjanjian Perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat (ART 2025) agar perkara seperti ini dapat dibahaskan oleh Ahli-ahli Parlimen.

PAS Selangor menuntut jaminan Kerajaan Madani bahawa sumber REE Malaysia tidak akan dimanfaatkan untuk sebarang aktiviti yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan dasar luar Malaysia terhadap Palestin.

IR TS DR NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF
Timbalan Pengerusi
Lajnah Penerangan PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 2/11/2025

- Advertisement -