
DEWAN Ulamak PAS Pusat telah meneliti dan memperhalusi perjanjian yang telah dimeterai oleh Malaysia sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN di antara Malaysia dan Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Agreement on Reciprocal Trade (ART 2025) pada 26 Oktober baru-baru ini. Perjanjian ini mengandungi sebanyak 7 perkara umum yang melibatkan perjanjian komitmen di antara 2 negara untuk mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di samping masing-masing mendapat manfaat yang dimahukan masing-masing.
Sesungguhnya perjanjian sebanyak 7 artikel yang telah dimeterai itu menimbulkan kebimbangan yang serius dan mencetuskan persoalan terhadap pelbagai perkara mengenai status kedudukan dan kedaulatan negara, sehinggalah kepada persoalan berkaitan dengan manfaat dan kos (costs and benefits) yang bakal diperoleh daripada perjanjian ini.
Seperti yang dibangkitkan oleh banyak pihak dan individu terhadap beberapa klausa yang bermasalah dan berpotensi menggadai kedaulatan negara, perjanjian dan terma ini sepatutnya tidak patut dipersetujui langsung oleh kerajaan biarpun Perdana Menteri seperti jawapan beliau di dalam sesi soal jawab parlimen minggu lalu menyatakan alasan bahawa perkara yang bermasalah itu merupakan hal yang remeh kerana mempunyai klausa untuk keluar dari perjanjian.
Jawapan yang rapuh itu jelas telah meletakkan kedudukan negara di dalam keadaan yang berisiko dengan perjanjian dan terma yang cuba menjadikan kedaulatan negara sebagai pajakan hanya di atas alasan untuk melindungi kepentingan ekonomi eksport Malaysia dan masalah tarif. Perjanjian yang telah mengikat tangan dan merantai negara ini juga telah menghakis amalan budaya dan status negara Malaysia di pentas antarabangsa yang selama ini sejak merdeka sebagai negara berdaulat yang berkecuali untuk cenderung atau terikat dengan mana-mana negara besar.
Dalam prinsip Siyasah Syari’yyah dan amalan kerajaan-kerajaan Islam yang hebat dalam ekonomi yang menggunapakai panduan syariat Islam, sesuatu perjanjian perdagangan antarabangsa terutama melibatkan negara dan pihak bukan islam mesti memenuhi beberapa dasar dan syarat:
a. Perjanjian perdagangan mestilah mempunyai maslahah yang besar dan kuat untuk orang Islam yang ditadbir, mestilah tidak melangkau kepada perkara-perkara yang diharamkan syara’, dan memberi kesan mudharat kepada orang Islam dalam akidah, akhlak dan lain-lain.
b. Perjanjian perdagangan tersebut mesti memastikan keamanan dan kesejahteraan orang Islam. Sebarang perjanjian yang boleh mengganggu status dan keamanan orang Islam adalah dilarang untuk dimeterai. Hal ini pernah berlaku pada zaman Saidina Umar bin Al-Khattab yang melarang supaya ahli zimmah (non-muslim yang mendiami di negara Islam) untuk menjadikan rumah dan gereja mereka sebagai pusat risikan dan gerakan untuk dakyah menukar agama orang-orang Islam.
c. Perjanjian yang telah dimeterai selepas daripada memastikan intipati perjanjian tersebut tidak bercanggah dengan dua perkara tersebut, perlulah dipegang dan ditepati oleh orang-orang Islam dan negaranya.
Maka dapat disimpulkan, isu-isu yang telah dibangkitkan di dalam perjanjian ini telah bercanggah dengan syarat dan prinsip pertama dan kedua. Maslahah umat Islam di negara ini berada dalam risiko dan membawa mudharat serta ia boleh mengundang keamanan dan kesejahteraan umat Islam. Keputusan untuk meterai perjanjian yang hanya melihat dari sudut keuntungan dan laba perdagangan semata-mata sehingga sanggup meletakkan kedaulatan negara dalam risiko adalah keputusan yang berideologikan kapitalis yang hanya terliurkan keuntungan semata. Allah berfirman,
{ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمۡ أَوۡلِيَآءَ تُلۡقُونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَقَدۡ كَفَرُواْ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلۡحَقِّ يُخۡرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمۡ أَن تُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ رَبِّكُمۡ إِن كُنتُمۡ خَرَجۡتُمۡ جِهَٰدٗا فِي سَبِيلِي وَٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِيۚ تُسِرُّونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَأَنَا۠ أَعۡلَمُ بِمَآ أَخۡفَيۡتُمۡ وَمَآ أَعۡلَنتُمۡۚ وَمَن يَفۡعَلۡهُ مِنكُمۡ فَقَدۡ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ }
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (SAW) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul.” [Surah Al-Mumtaḥanah: 1]
Malahan, dari sudut analisis kos-manfaat (Cost-Benefit Analysis) juga dilihat perjanjian yang memberi risiko terhadap kedaulatan negara ini juga belum tentu dapat menjamin manfaat yang diharapkan. Perang dagang yang menjadi modal dan dasar Donald Trump sejak kali pertama menjawat jawatan sebagai Presiden dahulu sehingga hari ini sepatutnya memberikan kita pengajaran bahawa yang paling rugi ialah negara yang banyak menyerah dan tunduk tanpa sebarang kebijaksanaan dalam diplomasi. Yang lebih teruk ialah kesan yang bakal diterima akan kekal dan berpanjangan biarpun tampuk jawatan tersebut bertukar tangan.
Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa supaya kerajaan mendengar keresahan rakyat dan pelbagai pihak berkenaan isu yang timbul ini, menyemak semula perjanjian tersebut dan menuntut supaya kerajaan membuat diplomasi yang wajar semula kepada Amerika Syarikat untuk meminda perkara-perkara yang membawa risiko kepada negara ini selari dengan ruang untuk meminda perjanjian seperti yang termaktub di dalam perjanjian yang sama pada Artikel 7.3.
USTAZ DATO’ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/11/2025











