PAS kehilangan sebutir lagi permata perjuangan

- Advertisement -

KULAI: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kehilangan sebutir permata apabila Yang Dipertua PAS Kawasan Tenggara, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar kembali ke rahmatullah, pagi semalam.

- Advertisement -

Allahyarham terdahulu menjalani pembedahan jantung di sebuah hospital swasta di negeri ini Selasa lalu, namun tidak berjaya dan menjalani pula pembedahan susulan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu, pada Jumaat.

Beliau bagaimana menghembuskan nafas terakhir di hospital sama keesokannya sebelum jenazah dibawa pulang dan disolatkan Masjid Ar Rahman, FELDA Bukit Besar, di sini serta dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan.

Mohd Nazari, 61, merupakan anak jati FELDA Bukit Besar sebagai generasi kedua FELDA di mana Allahyarham dikenali dengan sifat mesra rakyat serta komitmen tinggi terhadap pembangunan komuniti setempat.

Allahyarham merupakan bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah tokoh yang aktif dalam hal ehwal veteran angkatan tentera sebagai Presiden Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (KERABAT).

Beliau pernah menjadi perhatian nasional apabila dipilih mewakili PAS bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson pada tahun 2018  menentang Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika itu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun 2022 lalu, Allahyarham sekali lagi mewakili PAS bertanding untuk Perikatan Nasional (PN) di kerusi P.155 Parlimen Tenggara.

Mohd Nazari juga merupakan aktivis yang aktif memperjuangkan isu FELDA khususnya dan turut mengganggotai Ahli Jawatankuasa Kerja Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat.

Pelbagai pihak merakamkan takziah kepada keluarga Almarhum dan mendoakan rohnya dicucuri rahmat serta berkongsi rasa kehilangan individu berjasa ini.

Pemergian Allahyarham menjadi satu lagi kehilangan khusus buat PAS Negeri Johor yang terdahulu dikejutkan dengan kemalangan maut meragut nyawa Naib Ketua Pemuda PAS Johor, Ustaz Muhammad Ariff Haron, minggu lalu. – *HARAKAHDAILY 2/11/2025*

- Advertisement -