
SEREMBAN: PAS Kawasan Seremban menyifatkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mengugut wartawan sebagai satu sikap angkuh dan jelas mencabul kebebasan media di negara ini.
Yang DiPertuanya, Ustaz Rosmin Adam berkata, wartawan berhak bertanya untuk kepentingan rakyat dan tidak sepatutnya diugut atau dihina.
“Perbuatan menekan petugas media adalah satu bentuk buli kuasa dan bertentangan dengan prinsip demokrasi,” katanya.
Justeru, pihaknya menuntut kerajaan memberi jaminan terhadap keselamatan serta kebebasan media agar insiden memalukan seperti ini tidak berulang.
“Kita menegaskan bahawa mempertahankan Bahasa Melayu tidak boleh dijadikan alasan untuk menindas wartawan. Pemimpin berjiwa besar menjawab dengan hujah bukan ugutan,” tambahnya.
Memetik laporan Oriental Daily News, Kor Ming mempertahankan tindakannya yang menegur seorang wartawan ketika pelancaran projek ‘I Lite U’ sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Rabu lalu.
Ujarnya, interaksi antara wartawan dan individu yang ditemu bual haruslah bersifat dua hala yang mana kedua-dua pihak mempunyai hak masing-masing.
Sebelum ini Kor Ming ketika mengumumkan projek pencahayaan bandar ‘I Lite U’ di ibu negara dikatakan berang dengan soalan daripada wartawan Utusan Malaysia yang bertanyakan mengapa tema projek tersebut dalam bahasa Inggeris dan bukan bahasa kebangsaan.
Susulan kejadian itu, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Semenanjung Malaysia dan Gerakan media Merdeka (Geramm) mengeluarkan kenyataan yang menyatakan tindakan itu seperti mengugut dan menekan kebebasan media. – HARAKAHDAILY 2/11/2025











